fbpx

Kerajaan negeri Perak mohon tanah sawah jerlus, serangan tikus dikategori bencana alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zolkafly (tengah) melawat petak sawah padi yang mengalami tanah jerlus di Sungai Kota Bagan Tiang hari ini. - Foto WAT KAMAL ABAS/ KOSMO!

PARIT BUNTAR – Kerajaan Perak memandang serius isu yang dikemukakan oleh pesawah padi berhubung kejadian tanah jerlus di petak sawah termasuk isu serangan tikus ke atas tanaman padi di kawasan jelapang padi di negeri ini khususnya di daerah Kerian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, Jabatan Pertanian Perak telah mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya tanah jerlus dikategorikan sebagai bencana alam bagi membolehkan para pesawah yang terlibat dapat diberi bantuan.

“Berdasarkan daripada kajian-kajian yang telah dibuat oleh agensi berkaitan, kita menerima segala isu-isu yang melanda pesawah untuk dikemukakan kepada pihak kementerian termasuk kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selain isu tanah jerlus, kita juga akan memasukkan isu serangan tikus sebagai bencana alam kerana isu ini pernah berlaku pada 15 tahun lalu dan kini berulang kembali,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja rasmi di Kerian di sini hari ini.

Menurutnya, isu tanah jerlus dan serangan tikus yang melanda pada tahun ini akan menyebabkan hasil tuaian padi berkurangan di daerah Kerian.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kawasan jelapang padi sebagai sekuriti makanan utama bagi negara dan negeri Perak.

“Perkara ini turut diberi penekanan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkenaan sekuriti makanan iaitu bukan hanya soal jelapang padi malahan termasuk di sektor pertanian yang lain, isu nelayan, penternak dan sebagainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI