CALIFORNIA – Pemain golf Amerika Syarikat (AS), Nick Dunlap melakar sejarah apabila menjadi pemain amatur pertama menjuarai Jelajah PGA sejak Phil Mickelson melakukannya pada 1991.
Pemain golf berusia 20 tahun itu mengekalkan ketenangannya apabila menjuarai kejohanan tersebut selepas melakukan pukulan putt pada lubang ke-18 untuk mencatat dua bawah par 70 pada hari terakhir di lapangan Pete Dye Stadium.
Aksi cemerlang tersebut membolehkan Dunlap meraih gelaran The American Express selepas hanya dipisahkan satu pukulan dengan Christiaan Bezuidenhout dari Afrika Selatan.
Walaupun melakar kemenangan itu, pemain Amerika itu tidak layak membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak AS$1.51 million (RM7.13 juta) disebab statusnya sebagai pemain amatur dan akan diberikan kepada Bezuidenhout.
“Saya rasa skrip ini hari ini sudah pun ditulis. Saya akan memberikan segala yang saya ada sama ada saya terpaksa melakukan 75 atau 65 atau 70 pukulan.
“Secara keseluruhan saya sangat gembira dapat berdiri di sini dan melakar kemenangan di sini sebagai pemain amatur,” katanya.
Dunlap menamatkan saingan itu 29 bawah par 259 untuk mencatat rekod 72 lubang dengan skor kemenangan rendah sekali gus memecahkan rekod 28 bawah yang dicatat Patrick Reed pada 2014.
Lebih membanggakan, Dunlap turut menjadi pemain kedua termuda menjuarai Jelajah PGA dalam tempoh 90 tahun selepas Jordan Spieth yang melakukannya pada usia 19 di John Deere Classic 2013 dan pemenang amatur termuda sejak 1910. – AGENSI