fbpx

Anwar tidak pernah arah SPRM siasat individu bergelar Tun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi. Foto M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan ke atas individu bergelar Tun.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, kerajaan tidak masuk campur urusan SPRM, malah pihak berkenaan bebas untuk melakukan sebarang siasatan yang dirasakan wajar.

“Perdana Menteri telah beberapa kali menyatakan bahawa beliau tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada SPRM.

“Terserah kepada SPRM untuk ambil sebarang tindakan yang berlandaskan undang-undang dan dirasakan perlu serta wajar untuk diambil,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut menafikan bahawa siasatan oleh SPRM ke atas ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bermotifkan dendam.

“Saya tidak rasa ia sebagai isu politik atau dendam dan Perdana Menteri dah katakan beberapa kali tiada yang bersifat peribadi tentangnya.

“Jika ada sebarang perkara melibatkan harta, wang rakyat, maka ada hak untuk kerajaan teliti dan ia diguna pakai kepada semua pihak, bukan individu sahaja,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan Anwar berkata, masyarakat termasuk pemimpin di negara ini disarankan agar terus memberikan sokongan dalam penyiasatan melibatkan orang kaya termasuk individu bergelar Tun.

Beliau berkata, siasatan itu bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku di kalangan mereka yang kaya di negara ini.

Tanpa menyebut mana-mana individu, Anwar menjelaskan, beliau berasa pelik apabila tindakan siasatan terhadap golongan berkenaan ditentang sesetengah pihak.

Semalam, Dr. Mahathir pula mendakwa tindakan SPRM menyiasat anaknya, Mirzan Mahathir adalah untuk membongkar segala kesalahan yang dilakukannya selama ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan, Mirzan diminta SPRM untuk mendedahkan segala kesalahan yang beliau pernah lakukan ketika dalam tampuk pemerintahan.

Katanya, adalah tidak masuk akal bagi SPRM yang meminta anaknya mengumpulkan segala bukti dan transaksi sejak dari 1981 hingga sekarang dalam tempoh 30 hari.

Dr. Mahathir berkata, beliau mahu SPRM memanggilnya untuk memberi keterangan dan menuduhnya di mahkamah bukannya dengan mencari anaknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI