PUTRAJAYA – “Anugerah Wirawati Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sangat berharga buat kami,” kata Mohd. Baharudin Hamid, 65.
Mohd. Baharudin yang merupakan suami kepada pegawai kanan JKDM Allahyarhamah Anisah Ali berkata, melalui anugerah itu JKDM masih mengenang jasa isterinya biarpun sudah tujuh tahun pemergian.
“Biarpun sudah lama kejadian itu berlaku namun mereka (JKDM) masih ingat jasa arwah isteri saya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada JKDM atas anugerah ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42 di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada Oktober 2016, Anisah ketika menjalankan operasi bersama dua rakannya dirempuh oleh sebuah tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas.
Berikutan kejadian itu, Anisah koma dan meninggal dunia ekoran kecederaan dalaman dan komplikasi usus.
Dalam pada itu, Mohd. Baharudin turut berharap agar pihak berkuasa terus menyiasat kes kematian isterinya dan membawa pesalah ke muka pengadilan.
“Kes ini sudah lama. Saya pun tak tahu sampai peringkat mana perkembangannya. Pada masa dahulu, polis yang buat siasatan itu kata belum dapat bukti untuk nak tuduh dan kes itu masih tak ditutup.
“Saya amat berharap, polis yang buat siasatan itu kalau ada bukti untuk tuduh pelaku sebab (saya) masih tertanya-tanya siapa pelakunya,” ujarnya.
Sementara itu, anaknya, Afiq Luqman, 29, menggesa agar kerajaan mengadakan inkues kematian ibunya pada kadar segera.
Jelasnya, prosiding terbuka dan telus ini penting bagi menentukan apa yang berlaku sewaktu kejadian dan siapa yang menyebabkan kematian.
“Pihak saya dan keluarga melalui pendakwaraya atau peguam, berpeluang bertanya soalan-soalan penting kepada saksi-saksi yang ada dengan disaksikan oleh orang awam.
“Trauma yang dasyat yang dialami oleh kami sekeluarga dan rakan penjawat dalam kastam serta persoalan-persoalan penting yang tidak terjawab sebelum ini, pasti dapat dirungkaikan melalui proses inkues ini.
“Saksi-saksi yang selama ini mungkin berdiam diri, lebih mudah untuk dipanggil memberi maklumat penting,” katanya. – KOSMO! ONLINE