BEIJING – Berpuluh-puluh orang tertimbus dan lapan disahkan terbunuh dalam bencana tanah runtuh di kawasan pergunungan terpencil di barat daya China semalam.
Tanah runtuh yang berlaku sebelum subuh itu menimbus 18 kediaman dan memaksa 200 orang dipindahkan.
Bencana berlaku di Daerah Zhenxiong , wilayah Yunnan, lapor media pemerintah.
Lapan orang disahkan terkorban, manakala pasukan penyelamat telah mengeluarkan empat mangsa, demikian menurut stesen penyiaran rasmi CCTV sekitar pukul 5.30 petang semalam.
Keadaan empat mangsa tersebut bagaimanapun tidak diketahui.
Seramai 200 pekerja penyelamat telah dikerahkan berserta berpuluh-puluh jentera bomba dan peralatan lain.
Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan, berpuluh-puluh mangsa masih terperangkap setakat malam tadi. – AGENSI