fbpx

UMPSA, Grab perkasa pendidikan pekerja gig

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yuserrie (empat dari kiri) dan Ebi Azly (tengah) bergambar kenangan bersama wakil UMPSA dan Grab selepas majlis menandatangani MoU.

UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Grab Malaysia (Grab) telah mengukuhkan kerjasama selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini.

Kerjasama strategik tersebut bertujuan memberi akses pendidikan dan latihan yang mampu meningkatkan kelayakan akademik serta kompetensi golongan pekerja gig.

Kerjasama itu sebagai langkah proaktif UMPSA dalam menyokong dan meningkatkan keupayaan golongan pekerja gig, sejajar evolusi landskap pekerjaan semasa yang semakin berubah serta mencabar.

Majlis menyaksikan pertukaran MoU antara Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Polisi Grab, Ebi Azly Abdullah.

Menurut Yuserrie, keperluan untuk peningkatan kemahiran dalam kalangan golongan pekerja gig semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Ujarnya, melalui kerjasama itu, ia diharap dapat memberi impak positif kepada perkembangan ekosistem ekonomi gig dalam negara.

“Kerjasama strategik ini memberi peluang kepada golongan pekerja gig mengikuti program latihan dan pembangunan disediakan oleh UMPSA melalui kerjasama UMPSA Advanced.

“UMPSA Advanced merupakan sebuah anak syarikat universiti yang berpengalaman luas dalam program pengajian sepanjang hayat.

PARA pekerja gig berpeluang meningkatkan tahap pendidikan menerusi latihan dan kursus secara fleksibel. – Gambar hiasan

“UMPSA Advanced juga adalah penyedia latihan yang telah berjaya melahirkan ribuan graduan serta pelatih,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Yuserrie, sebilangan daripada pekerja gig tidak meneruskan pengajian ke institusi pendidikan tinggi disebabkan pelbagai faktor.

“Antaranya termasuk beban kewangan dan akhirnya mereka memilih laluan pekerjaan gig kerana ia mampu memberikan pulangan baik untuk memasuki alam dewasa,” ujarnya.

Jelasnya lagi, berdasarkan pemerhatian, ekonomi tidak formal memainkan peranan penting dalam dunia hari ini.

“Sama ada kerja sambilan atau melalui platform, ia merupakan jaringan keselamatan yang memanfaatkan orang ramai sebagai sumber pendapatan isi rumah.

“Peluang bekerja dan belajar secara fleksibel merupakan salah satu aspek penting dalam membuka peluang pendapatan bagi kumpulan ini.

“Peluang ini secara tidak langsung membuka jalan bagi akreditasi pendidikan yang bermanfaat bagi pekerja gig,” katanya.

Justeru, UMPSA dan UMPSA Advanced akan berganding bahu menawarkan kursus yang lebih fleksibel dan latihan berasaskan kompetensi kepada Grab Partners.

“Golongan pekerja gig akan mendapat akses kepada kursus dan latihan yang lebih fleksibel melalui penawaran dalam bentuk ‘micro-credentials’ bersesuaian dengan mereka yang tiada waktu mengikuti kursus atau latihan secara konvensional.

Tambahnya, kerjasama yang terjalin antara UMPSA dan Grab dapat membuka peluang jalinan kerjasama syarikat multinasional dan kepakaran universiti tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Saya percaya hubungan baik antara universiti dan industri mampu melonjakkan transformasi pendidikan ke arah lebih fleksibel sejajar dengan perubahan zaman.

“Ini bagi menangani jurang sosioekonomi, membina masyarakat lebih berdaya saing dan menyokong pembangunan negara Madani,” katanya.

Sementara itu, Ebi Azly berkata, usaha memperkenalkan program dan kurikulum akademik yang fleksibel itu memberi peluang kepada rakan-rakan pemandu dan penghantar Grab mendapatkan akreditasi pendidikan lebih tinggi.

“Kerjasama ini merupakan peluang keemasan bagi rakan-rakan pemandu dan penghantar Grab di seluruh negara menyertai pelbagai program latihan dan pembangunan disediakan oleh UMPSA,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI