KUALA LUMPUR – Gagal mengakui kekurangan dan terlalu taasub dengan pencapaian terdahulu antara punca Malaysia gagal maju dan ketinggalan terutama dalam bidang pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika merujuk kepada prestasi Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.
“Kita berada di sini, bukan untuk menafikan pencapaian terdahulu seperti pertumbuhan ekonomi, perpaduan dan peningkatan pada tahap tertentu dalam sistem pendidikan, namun jika dilihat fakta asas, beberapa daripadanya (kini di tahap) membimbangkan.
“Justeru, kita perlu rujuk laporan PISA terkini yang akan memberi gambaran (sebenar) kepada tahap kejayaan negara.
“Malaysia berada di tangga ke-51 daripada 81 negara dalam kajian PISA. Malah, kita terburuk dalam kalangan tujuh negara ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Wacana Pemikir Global 2024 di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, alasan standard yang diberikan berhubung prestasi itu adalah ia berpunca akibat penularan wabak Covid-19 sehingga menjejaskan sektor pendidikan negara.
“Wabak Covid-19 memberi kesan kepada semua negara termasuk Laos, Kemboja, Indonesia (dan) Singapura tetapi kenapa kita gagal untuk skor.
“Ini soalan yang perlu kita tanya sebelum membincangkan soal masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE