PETALING JAYA – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) telah dinobatkan sebagai pemenang utama sempena penganugerahan Putra Brands Awards 2023 dalam satu majlis di sini baru-baru ini.
Sime Darby memenangi Anugerah Platinum bagi kategori pembangunan hartanah menerusi undian orang ramai berdasarkan beberapa kriteria termasuk kebiasaan (familiarity), penggunaan (usage), tanggapan (impression), niat untuk membeli (intent to purchase) dan kemungkinan untuk mencadangkan jenama Kumpulan kepada individu lain.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, anugerah tersebut membuktikan keyakinan orang ramai terhadap jenama Sime Darby Property dalam menyediakan produk-produk yang berkualiti, inovatif dan mampan.
“Kami teguh berdiri dalam industri selama lebih 50 tahun kerana kepercayaan pengguna terhadap Sime Darby Property dan ia merupakan satu kehormatan untuk diiktiraf sebagai pembangunan hartanah pilihan utama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dilancarkan pada tahun 2010, Putra Brand Awards adalah anugerah penilaian jenama yang diukur berdasarkan pilihan pengguna dan bertujuan untuk mengiktiraf jenama yang menunjukkan kecemerlangan dalam menjalin dan membina hubungan yang kukuh dengan pengguna.
Dianjurkan oleh Association of Accredited Advertising Agents of Malaysia (4As) dengan kerjasama Malaysia’s Most Valuable Brands (MMVB), pemenang dipilih melalui tinjauan dalam talian oleh lebih daripada 11,000 responden di pelbagai kategori produk dan perkhidmatan. -KOSMO! ONLINE