fbpx

Saya anak yang tidak diinginkan – Zainal Abidin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Datuk Zainal Abidin berkongsi kisah hidupnya yang sukar sewaktu kecil apabila pernah melakukan pelbagai pekerjaan untuk mencari rezeki.

KUALA LUMPUR – “Tiga hari selepas saya lahir, saya diberi kepada datuk dan nenek untuk dijaga. Saya anak yang tidak diinginkan.”

Demikian kata penyanyi Datuk Zainal Abidin sewaktu berkongsi kepayahan hidupnya sewaktu kecil apabila membesar dalam serba kekurangan.

Ujar penyanyi berusia 65 tahun itu, menjalani kehidupan ketika zaman kanak-kanak tanpa dibesarkan oleh orang tua sendiri, menjadi antara fasa ‘hitam’ yang pernah dilaluinya sewaktu masih kecil.

Lebih memeritkan apabila kepayahan yang dilaluinya itu, sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan terhadap fizikal dan mentalnya, lebih-lebih lagi selepas kematian datuk dan neneknya ketika dia berusia lapan tahun.

“Saya dijaga oleh datuk dan nenek sejak bayi sehingga mereka meninggal dunia sewaktu saya berusia lapan tahun. Selepas itu saya berpindah dari satu keluarga ke satu keluarga yang lain.

“Saya jadi seorang kanak-kanak yang terkesan dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Tambah anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor itu lagi, kehidupan susah yang dilalui turut menuntutnya untuk bekerja pada usia kanak-kanak apabila terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk mencari rezeki.

“Kehidupan saya sangat sukar ketika itu. Saya bekerja di jalanan dengan menjual ais kacang dan adakalanya bermain muzik dengan menggunakan kotak dan bangku sebab saya tiada duit.

“Saya minat dalam bidang muzik kerana datuk dan nenek saya adalah seorang pemuzik dan penyanyi ketika saya membesar dengan mereka.

“Pernah juga saya bekerja sebagai buruh binaan dan menjadi tukang basuh pinggan untuk meneruskan kehidupan ketika itu,” ujarnya.

Zainal yang ditemui ketika menjayakan konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPAC), pada malam Sabtu lalu, bagaimanapun menyifatkan kepayahan yang dilaluinya ketika kecil itu merupakan pengalaman berharga dalam dirinya untuk menjadi seperti hari ini.

Kata pelantun lagu Hijau itu lagi, dia terpanggil untuk berkongsi pengalaman hidupnya di hadapan kira-kira 500 penonton, termasuk dalam kalangan penuntut dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyuntik semangat mereka dalam menempuhi cabaran hidup.

“Anda semua bertuah dapat belajar di universiti, mendapat sokongan kerajaan dan paling utama, sokongan keluarga. Industri muzik ini sebenarnya boleh menjana pendapatan,” katanya.

Menerusi konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound, Zainal mempersembahkan sembilan lagu termasuk rangkaian lagu popularnya seperti Hijau, Ikhlas Tapi Jauh, Manis dan single baharu, Tiba Masa.

Mengetengahkan konsep berhibur sambil mendidik, konsert berkenaan turut menampilkan tiga panelis lain yang berpengalaman dalam bidang muzik iaitu maestro muzik, Michael Veerapan; pemain perkusi, Steve Thorton dan jurutera bunyi, Sunil Kumar.

Antara pelajar IPT yang hadir adalah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti UCSI dan Universiti Lim Kok Wing.

Konsert dibawakan AfroZapin Network iaitu produksi milik Zainal yang mendapat sokongan MyCreative Ventures dengan kerjasama rakan penaja utama, CIMB Bank dan Yayasan CIMB itu turut menampilkan One Juicy dan Pija Yasin sebagai penyanyi undangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI