DOHA – Pengendali Bahrain, Juan Antonio Pizzi memuji komitmen pemainnya yang kekal berjuang hingga ke minit terakhir untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Malaysia pada aksi kedua Kumpulan E di Stadium Jassim bin Hamad kelmarin.
Bagaimanapun bekas pengendali Chile itu merasakan pasukannya sudah mampu mendapatkan jaringan di babak pertama, namun keputusan ini sudah memadai untuk menghadirkan motivasi sebelum berdepan Jordan Khamis ini.
“Kami menyerlahkan usaha yang cukup hebat sepanjang perlawanan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol di lewat permainan. Sepatutnya kami sudah mampu menyempurnakan beberapa peluang di separuh masa pertama.
“Kami sudah jangka perlawanan ini cukup mencabar, namun kami sememangnya berhak untuk dapatkan kemenangan ini dan saya begitu berterima kasih kepada pemain yang mencipta banyak peluang,” katanya.
Perlawanan itu seakan hampir berakhir tanpa jaringan, tetapi Ali Madan berjaya menempatkan dirinya di kedudukan tepat untuk meledak gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua.
Keputusan ini juga menghidupkan semula peluang Bahrain mara ke pusingan kalah mati sambil Madan yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan mendedikasikan jaringannya itu buat keluarganya. – AGENSI