KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan digesa untuk melihat semula sistem prasekolah dengan menyediakan kemudahan tambahan untuk pelajar di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan kemerosotan prestasi pelajar di negara ini yang dicatatkan dalam skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.
“Saya mulakan dengan berita yang agak kurang menyenangkan tentang laporan PISA. Tetapi ini juga terkait dengan lain-lain termasuk infra digital, kurikulum dan prasekolah.
“Dalam semua kategori ini kita agak ketinggalan sebab itu saya telah gesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya melihat semula sistem prasekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wacana Pemikir Global 2024 di Dewan Tunku Canselor, Univesiti Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara itu perlu dilaksanakan dalam tempoh yang singkat bagi meningkatkan mutu pendidikan negara untuk semua lapisan masyarakat.
“Kalau kita katakan sebanyak 80 peratus (pelajar) yang masuk pra sekolah dengan kategori berbeza, mungkin 40 peratus baik, selebihnya pertengahan dan sekitar 20 peratus amat lemah. Tak sampai 50 peratus (yang baik).
“Maknanya jika kita bicarakan dalam soal keadilan. Kita sebenarnya melebarkan jurang di antara antara kota, desa dan pendalaman.
“Sebab itu pesan saya, pastikan tahun 2024 kita dapat sediakan kemudahan tambahan supaya peluang prasekolah dapat diberikan kepada semua pelajar dalam negara,” jelasnya.
Meskipun usaha itu dipercayai akan menelan belanja baharu, Anwar berkata, bidang pendidikan secara umumnya menerima peruntukan tertinggi menerusi Belanjawan Madani.
“Sekali lagi kita bermula dengan asas. Tahun 2023 kita belanja RM1 bilion untuk perbaiki tandas. Bayangkan kita di dewan yang indah ini tetapi anak-anak kita belajar di sekolah sekolah yang dianggap daif walaupun sekolah itu sekolah hebat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE