KUALA LUMPUR – Bekas Penolong Pegawai Penerangan, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abd. Kader Jilani menyaman Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard bagi menuntut ganti rugi RM5 juta berhubung penyebaran video didakwa mengandungi perbualan lucah.
Writ saman fitnah terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu itu difailkan pada 22 Disember lalu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Faizal Rahman & Co.
Tindakan saman itu dibuat susulan penyebaran video didakwa mengandungi perbualan lucah memaparkan plaintif dan individu mirip bekas Ketua Pengarah J-Kom, Dr. Mohammad Agus Yusoff.
Dalam saman itu, Abdul Wahab menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi teruk dan teladan serta perintah mahkamah untuk memaksa defendan mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu daripada semua platform media sosial dan menghalang defendan mengulangi kenyataan tersebut.
Sebelum ini, rakaman video berdurasi tiga minit di Facebook yang tular sejak 17 November 2023 menjadi topik hangat di media sosial berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus bersama seorang lelaki.
Susulan itu, Mohammad Agus meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Pada sidang media khas berhubung isu itu, Abdul Wahab mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu dikenali sebagai `Mr H’.
Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan pada 16 November 2023 mengedar dan mendedahkan pernyataan fitnah dalam bentuk video melalui Facebook atas nama `Che GuBard’ dan `Che GuBard Official’ untuk tuntutan umum.
Plaintif mendakwa video itu seolah-olah memaparkan beliau sedang berbual lucah (yang mana ia dinafikan) dengan Mohammad Agus bertujuan menunjukkan beliau terlibat dalam aktiviti tidak bermoral atau homoseksual.
Dakwa Abdul Wahab, Chegubard juga menerbitkan semula video hantaran Facebook Pertama itu dalam saluran Telegramnya atas nama `Che’gu bard Original’ yang mana kedua-dua hantaran itu boleh diakses oleh umum.
Plaintif melalui peguamnya selanjutnya menyerahkan surat tuntutan bertarikh 8 Disember 2023 antara lain agar defendan serta-merta melupuskan video itu dan rakaman perbualannya yang telah disunting. – KOSMO! ONLINE