fbpx

Kerajaan akan umum penambahbaikan bantuan lain – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster berhubung program subsidi bersasar Sara dikongsikan di media sosial Anwar.

PETALING JAYA – Kerajaan akan mengumumkan penambahbaikan terhadap bantuan-bantuan lain untuk rakyat selepas memberi peruntukan lebih besar untuk program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (Sara) pada tahun ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program Sara telah ditambah baik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta berbanding perbelanjaan RM130 juta tahun lalu.

Menurut beliau, peruntukan lebih besar itu membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima Sara kepada 700,000 berbanding 210,000 tahun lalu, malah nilai bantuan juga dinaikkan sekali ganda sehingga RM1,200.

“Alhamdulillah, sukacita saya maklum program subsidi bersasar Sara kembali bermula hari ini secara berperingkat. Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat.

“Penambahbaikan program Sara ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi Madani.

“Insya-Allah, kerajaan akan mengumum lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan kadar bantuan Sara kepada isu rumah yang akan dilaksana secara berperingkat bermula 22 Januari 2024 dinaikkan kepada RM1,200 berbanding RM600 tahun lalu.

Memetik kenyataan Kementerian Kewangan, kategori pogram Sara yang sebelum ini hanya merangkumi golongan miskin tegar turut diperluaskan kepada golongan miskin.

Selain itu, penggunaan kredit program Sara diperluaskan kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Bagaimanapun, kadar bantuan Sara untuk golongan bujang kekal RM600.

Pelaksanaan Sara bermula 22 Januari 2024 adalah bagi penerima di Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 19 Februari 2024.

Bagi penerima program Sara di Semenanjung Malaysia, bantuan Sara akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, bantuan Sara akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024 melalui pengkreditan ke akaun bank secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN)

Rangkaian rakan runcit iaitu pasar raya dan kedai yang mengambil bahagian dalam program Sara di seluruh negara juga telah diperluaskan kepada 515 buah berbanding 424 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI