fbpx

Irfan Wafiy masih derita Myokimia akibat pencemaran Sungai Kim Kim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRFAN WAFIY (tengah) masih menderita akibat penyakit Myokimia kesan pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim enam tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, masih menderita penyakit Myokimia sejak enam tahun lalu.

Bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir A. Wahab, 53, berkata demikian pada hari pertama perbicaraan saman sivil di hadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim hari ini.

Idham Wazir yang juga saksi pertama berkata, penyakit yang dihidapi anaknya itu bukan sahaja tiada penawarnya, malah tidak pernah direkodkan di negara ini.

Jelas lelaki itu, keadaan kaki anaknya juga sentiasa menggeletar dan kejang akibat kesan pencemaran sisa toksik tersebut.

“Kesihatannya (rfan Wafiy) masih belum sembuh. Kakinya masih menggeletar, tiba masa (diserang) sakit, memang kaki dia akan ‘non-stop’ menggeletar dan kerap berada dalam kekejangan.

“Alhamdulillah sekarang dia solat tanpa perlu menggunakan kerusi. Namun, penyakit itu belum sembuh dengan rawatan kali terakhir dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Walter Pereira pada perbicaraan kes saman sivil pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Idham Wazir berkata, anaknya yang berusia 16 tahun itu kini belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru di Seri Alam, di sini.

KAMARUDDIN memberi penerangan kepada keluarga mangsa selepas prosiding perbicaraan kes saman sivil RM30 juta di Mahkamah Tinggi di Menara Cyberport, Johor Bahru hari ini. – Foto RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

Katanya, setelah enam tahun berlalu, anaknya tidak menerima panggilan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan susulan.

“Doktor pakar memaklumkan penyakit ini tidak mempunyai ubat dan tiada rekod penyakit ini di Malaysia. Apa yang doktor bagi (ubat) ‘try and error’ berdasarkan kes-kes di luar negara.

“Namun ubat tersebut tidak sesuai dengan anak saya. Apabila anak saya memakan ubat dia akan tidur,” katanya.

Perbicaraan kes saman sivil berjumlah RM30 juta terhadap 12 defendan termasuk Kerajaan Negeri Johor ini akan disambung pada Jun depan.

Peguam Datuk Kamarudin Ahmad memberitahu, tarikh perbicaraan itu ditetapkan pada 2 Jun diikuti 18 dan 19 Ogos serta 14 dan 15 Oktober 2024. Idham Wazir bersama 41 lagi plaintif diwakili peguam Kamarudin, Walter Pereira dan Radiah Karim.

Pada 17 Julai 2023, pihak mangsa memfailkan saman sivil itu berjaya menafikan permohonan defendan, P Tech Resources Sdn. Bhd., untuk mengenepikan saman sivil yang mula difailkan pada 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI