PETALING JAYA – Etika Sdn Bhd (Etika), salah satu pengeluar minuman halal terkemuka, menjadi salah satu syarikat Malaysia terawal yang beralih kepada penggunaan 100 peratus tenaga elektrik boleh diperbaharui di kilang di Bangi sejak tahun 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei), Santharuban Thurai Sundaram berkata, sebagai peserta Program Tarif Elektrik Hijau (GET) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Etika Beverages Sdn Bhd memperoleh tenaga boleh diperbaharui yang dijana oleh stesen jana kuasa tenaga solar di bawah Program Solar Skala Besar (LSS) dan stesen jana kuasa hidro di negara ini.
Etika juga mempunyai projek tenaga suria atas bumbung jangka panjang dari 2021 dan 2022 yang terus diusahakan dan dikembangkan.
“Melalui dua inisiatif ini pengurangan jejak karbon Etika Beverages telah meningkat ke tahap setaraf dengan 490,000 pokok matang pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau, gudang Etika di Bangi juga kini dikuasakan dengan kira-kira 48 peratus elektrik boleh diperbaharui yang dibekalkan oleh panel solar atas bumbung dan langganan GET.
“Walaupun kos operasi telah meningkat sehingga RM 0.208 per kWj pada suku ketiga 2023 berbanding tarif GET sebelumnya iaitu RM 0.037 per kWj daripada Program GET, Etika Beverages tetap komited untuk menyelaraskan dirinya dengan Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 dan beralih daripada sumber bahan api yang lebih murah tetapi kurang mesra alam,”ujarnya.
Tambah beliau, Etika telah lama memperjuangkan kelestarian alam sekitar dan telah menyokong usaha masyarakat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu alam sekitar.
Dengan 100 peratus penggunaan elektrik hijau di kilang minumannya, semua produk sedia untuk diminum (RTD) Etika Beverages Sdn Bhd dihasilkan menggunakan kaedah ini dan akan mempamerkan ikon elektrik hijau 100 peratus pada bungkusannya.
Santharuban Thurai berkata, salah satu komitmen Etika adalah untuk menerima dan mempromosikan pendekatan mampan alam sekitar dalam perniagaan kami.
Melalui program pengurangan tenaga dan efisiensi kami serta penggunaan tenaga suria dan langganan ke dalam Program GET, kami telah mengurangkan jejak karbon kami dengan ketara sejak tahun 2022.
“Ini merupakan satu permulaan yang baik, dan kami akan berusaha untuk mengurangkan jejak karbon dengan lebih lanjut.”
“Kami berbangga untuk menjadi salah satu syarikat pertama yang menerima tenaga elektrik hijau, dan kami berharap agar inisiatif kami akan menjadi contoh untuk diikuti oleh komuniti dan organisasi lain.
“Peralihan daripada sumber tenaga yang mencemarkan ke arah alternatif yang lebih mampan dan mesra alam adalah salah satu daripada pelbagai cara kami telah menggalakkan gaya hidup yang lebih mampan kepada komuniti kami,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE