fbpx

Dua premis simpan minyak masak peket, LPG tanpa permit diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
enguat kuasa KPDN merampas minyak masak peket yang disyaki disimpan tanpa permit di sebuah premis di Kulim, semalam.

KULIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas sebanyak 466 peket minyak masak dan 13 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam dua serbuan berasingan, di sini semalam.

Serbuan bermula kira-kira pukul 2 petang itu melibatkan sebuah premis bersebelahan kedai runcit dan sebuah lagi premis perniagaan restoran dan katering kerana disyaki menyimpan barangan tersebut tanpa permit.

Pengarah KPDN negeri, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan dilakukan lima penguat kuasa KPDN Kulim itu adalah hasil daripada aduan orang awam.

Katanya, dua premis tersebut didapati terlibat dengan aktiviti penjualan dan penggunaan minyak masak dan LPG bersubsidi.

“Pemeriksaan ke atas premis pertama iaitu sebuah kedai runcit menjual barangan keperluan harian mendapati ia mempunyai lesen runcit yang masih sah bagi menjual barang kawalan berjadual.

“Barang kawalan berjadual itu adalah gula, minyak masak dan tepung gandum dengan had simpanan lesen runcit bagi minyak masak adalah 1,000 kilogram (kg),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian dijalankan di premis bersebelahan yang juga dimiliki oleh pemilik kedai runcit tersebut.

“Pasukan telah menjumpai sebanyak 370 peket 1kg minyak masak bersubsidi di premis itu yang tidak dinyatakan di dalam lesen runcit terdahulu sebagai tempat penyimpanan barang kawalan.

“Pasukan telah bertindak menyita sebanyak 370 peket 1kg minyak masak bersubsidi untuk tindakan lanjut dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memindahkan barang kawalan iaitu minyak masak dari premis yang dilesenkan,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam satu lagi serbuan berasingan di sebuah premis perniagaan restoran dan katering yang juga dimiliki pemilik kedai runcit sama, pasukan menemui minyak masak peket 1kg bersubsidi sebanyak 96 kg.

“Turut ditemui ialah 13 tong LPG atau bersamaan 182 kg. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan
Bekalan 1961.

“Pasukan serbuan seterusnya bertindak menyita minyak masak paket 1kg bersubsidi sebanyak 96 kg dan 13 tong LPG dengan kes disiasat di bawah Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu tidak memiliki permit kebenaran untuk menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had ditetapkan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI