fbpx

Birokasi lama antara KPT, universiti perlu ditamatkan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika menyempurnakan gimik Perasmian Wacana Pemikir Global 2024, di Universiti Malaya, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Amalan birokrasi ‘lama’ Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membuat keputusan bagi pihak insititut pengajian tinggi (IPT) perlu ditamatkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu bagi membolehkan universiti di negara ini berkembang sekali gus menjadikan wacana pendidikan lebih baik pada masa depan.

“Saya sebelum ini, mengarahkan kementerian membenarkan universiti berkembang dengan memberi ruang untuk menentukan keutamaan mereka.

“Bagaimanapun, sistem birokrasi lama untuk kementerian memutuskan dalam (pentadbiran) universiti mesti ditamatkan sekarang.

“Saya mencadangkan perkara ini kerana menyedari hakikat bahawa negara akan ketinggalan (dalam sektor pendidikan) jika kita (bergerak) dengan kadar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wacana Pemikir Global 2024 di Dewan Tunku Canselor, Univesiti Malaysia, di sini hari ini.

Pada masa sama, Anwar turut menggesa kementerian melaksanakan dasar yang jelas dalam sektor pendidikan tinggi tahun ini.

“Saya juga menggalakkan universiti untuk mengembangkan program tertentu, khususnya dalam kajian Kecerdasan Buatan (AI) dan mungkin (universiti) boleh kembangkan program mereka.

“Ya, kami tidak mempunyai sumber yang mencukupi tetapi apa sahaja yang ada mesti dilakukan sekarang,” jelasnya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata kepimpinan IPT perlu diberi ruang untuk mencipta idea baharu bagi sektor pendidikan negara.

Menurut Anwar, langkah seumpama itu adalah penting bagi memastikan IPT di negara ini mampu bersaing di peringkat serantau dan global, selain melahirkan graduan berkualiti tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI