WASHINGTON – Seramai 5,000 ibu bapa di Amerika Syarikat (AS) menyaman TikTok kerana menuduh platform video pendek itu memberikan kesan buruk terhadap anak-anak mereka, lapor portal berita Dexerto kelmarin.
Sebuah badan perlindungan pengguna, ClaimsHero mewakili golongan tersebut.
Pada Julai 2023, TikTok memasukkan terma menyatakan bahawa pengguna platform tersebut hanya dibenar memfailkan tuntutan dalam tempoh setahun mereka membuka akaun di TikTok.
Menjelaskan isu tersebut, laman web ClaimsHero mendakwa TikTok ialah senjata yang disasarkan kepada belia Amerika. Ia memaparkan kandungan ganas, seksual dan juga bunuh diri tanpa henti yang menyasarkan kanak-kanak seawal usia 12 tahun.
Kata laman web itu, setiap ibu bapa layak mendapat ganti rugi sehingga AS$10,000 (RM47,140).
Tindakan undang-undang itu dibuat selepas insiden yang diceritakan oleh seorang wanita, Brittany Edwards.
Wanita itu berkata, anak perempuannya yang berusia 12 tahun menyiarkan video di TikTok menyatakan bahawa dia mahu membunuh diri.
“Anak saya berubah sepenuhnya dan dia banyak menghabiskan masa dengan telefon bimbit,” kata Brittany kepada akhbar New York Post.
Ini bukan kali pertama TikTok berdepan saman ibu bapa. Pada Julai 2022, dua saman difailkan terhadap syarikat berkenaan susulan kematian dua kanak-kanak yang menyahut cabaran tular dikenali sebagai ‘blackout challenge’. Ia tular di platform tersebut.
Pada Ogos 2022, seorang hakim di AS meluluskan bayaran AS$92 juta (RM433.6 juta) sebagai penyelesaian kepada saman berkumpulan terhadap TikTok melibatkan dakwaan melaggar peraturan privasi data pengguna. – AGENSI