BATU PAHAT – Polis meminta semua pihak bersabar menantikan laporan padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia terhadap sampel patologi dari Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), yang dihantar ke jabatan berkenaan, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, laporan berkenaan pada kebiasaannya akan mengambil sedikit masa sebelum laporan selengkapnya dapat disediakan.
Katanya, semua pihak perlu bersabar dan memberi ruang secukupnya untuk pihak polis menjalankan siasatan terhadap penemuan rangka manusia tidak sempurna di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7, Tongkang Pechah itu.
“Seperti dimaklumkan sebelum ini, masa diperlukan antara dua minggu atau sebulan sebelum boleh mendapat keputusan daripada ujian DNA itu.
“Bagaimana pun, pihak polis akan cuba menyegerakan keputusan dan ia akan dimaklumkan kepada semua pihak selepas memperolehinya nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas keresahan orang ramai berkaitan keputusan ujian DNA berkaitan rangka manusia tidak sempurna yang ditemui dalam sebuah rumah terbengkalai pada pukul 2 petang, hari Jumaat lalu.
Sebelum itu, sampel patalogi daripada rangka manusia tidak sempurna yang ditemui di sebuah rumah terbengkalai di Jalan Imam Jailani Kampung Batu 7, Tongkang Pecah petang Jumaat telah diperolehi melalui bedah siasat dilakukan semalam.
Ismail dalam kenyataannya, proses bedah siasat dilakukan di HSI dan sampel yang diterima akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan DNA bagi mengenal pasti identiti si mati. – KOSMO! ONLINE