KUALA KANGSAR – Lelaki yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam ketika memancing di Tasik Chenderoh, Sauk di sini kelmarin, ditemui lemas hari ini.
Mangsa, Muhammad Khairul Rusydan, 30, dijumpai pada pukul 8.37 pagi oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mangsa dijumpai pada jarak 500 meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
Katanya, mayat mangsa dibawa naik ke tebing oleh anggota PPDA sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Tindakan membuat pusaran air menggunakan teknik ‘figure of eight loop’ menggunakan bot bomba dilakukan di lokasi berkenaan dalam usaha menimbulkan mangsa.
“Mangsa ditemui terapung di lokasi berkenaan apabila operasi dimulakan pada pagi ini oleh anggota PPDA dan K9,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar diketuai Ketua Balai, Ahmad Izuwan Zakaria memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.32 petang, kelmarin.
Katanya, operasi itu turut dibantu pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan 20 nelayan darat.- KOSMO! ONLINE