fbpx

MMI gesa kerajaan ambil graduan perubatan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan digesa mempercepatkan proses pengambilan graduan perubatan sebagai doktor pelatih, sekali gus memastikan peralihan tenaga kerja daripada graduasi kepada sistem latihan yang lebih cepat.

Malaysia Medics International (MMI) berkata, langkah itu perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan terutama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu kekurangan serius yang dihadapi serta masalah dalam soal pengagihan doktor pelatih termasuk yang dilapor berlaku di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) sebelum ini.

“Sebagai contoh Singapura, organisasi yang diterajui pelajar perubatan antarabangsa itu berkata, tempoh peralihan antara graduasi dan alam kerja yang ditawarkan negara jiran itu jauh lebih singkat berbanding di Malaysia yang mana graduan perlu menunggu kira-kira enam bulan.

“Dengan tempoh (peralihan dari graduasi ke alam kerja) yang lebih singkat, lebih ramai graduan perubatan dapat diserap untuk bekerja dengan lebih cepat sekali gus mengurangkan masalah kekurangan doktor pelatih,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Sebelum ini, satu portal berita tempatan telah melaporkan pelaksanaan protokol ‘sifar HO’ (tiada doktor pelatih) di Jabatan Perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang berdepan kekurangan doktor pelatih.

Protokol itu menyasarkan untuk menangani kekurangan kritikal doktor pelatih dalam unit perubatan berbeza dengan perkhidmatan diberikan mengikut keutamaan berdasarkan beban tugas jabatan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Azizan Abdul Aziz ketika mengulas isu tersebut berkata, sebarang kemungkinan berlakunya kekurangan doktor pelatih adalah membimbangkan kerana lebih 70 peratus rakyat bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan awam.

Mengulas lanjut, MMI berkata penyusutan bilangan doktor pelatih dalam sistem penjagaan kesihatan mencetus kebimbangan besar kerana ia boleh mendatangkan pelbagai impak termasuk peningkatan beban ditanggung tenaga kerja sedia ada sehingga menyumbang kepada masalah kelesuan.

“Mengurangkan atau menghentikan perkhidmatan bagi mendepani kekurangan yang berlaku berpotensi menjejaskan akses kepada perkhidmatan perubatan penting untuk pesakit, mencetus kebimbangan serius terhadap mutu khidmat diberi serta keselamatan pesakit.

“Cadangan mempercepat tempoh peralihan dari graduasi ke alam kerja boleh mengatasi isu kelesuan mental yang menjadi trend merisaukan dalam sistem penjagaan kesihatan.

“Doktor pelatih dan pegawai perubatan adalah teras penting sistem penjagaan kesihatan untuk mencapai keberkesanan, jadi cadangan ini perlu diberikan perhatian KKM dan juga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI