TASIK merupakan satu takungan air dikelilingi tanah yang tergolong dalam tiga peratus sumber air tawar di bumi.
Terdapat berjuta-juta tasik ditemui di setiap benua dengan pelbagai jenis persekitaran seperti gunung, padang pasir, dataran dan berhampiran pantai.
Tasik berbeza dari segi saiz, di mana ada antaranya berukuran hanya beberapa meter persegi dan cukup kecil sehingga boleh dimuatkan di halaman belakang rumah.
Namun begitu, terdapat juga tasik yang bersaiz besar sehingga dikenali sebagai laut serta menjadi tumpuan ramai pencinta alam sekitar dan kaki pancing.
Air tasik biasanya tawar, dibentuk oleh proses semula jadi seperti glasier, tektonik dan gunung berapi atau oleh aktiviti manusia.
Bagaimanapun, terdapat tasik yang mengandungi air masin kerana sumber airnya dan keadaan ekosistem di persekitaran.
Minggu ini, Panorama menyenaraikan lima tasik terbesar di dunia.
Laut Kaspia (371,00 km persegi)
Laut Kaspia merupakan tasik terbesar di dunia yang menjadi lokasi penempatan manusia serta industri sejak turun-temurun.
Menurut laman web livescience, biarpun dinamakan laut, namun ramai penyelidik menggelarkannya sebagai tasik kerana ia mempunyai ciri-ciri sebuah tasik.
Ia dinamakan laut kerana menjadi antara tasik terawal yang ditemukan pada zaman purba dan perkataan laut lazim digunakan ketika itu.
Laut Kaspia adalah badan air pedalaman terbesar di Bumi apabila diukur dengan luas permukaan.
Ia terletak di persimpangan Eropah dan Asia dengan Pegunungan Caucasus di sebelah barat dan padang rumput Asia Tengah di sebelah timur.
Ia bersempadan dengan Russia di barat laut, Azerbaijan di barat, Iran di selatan, Turkmenistan di tenggara dan Kazakhstan di timur laut.
Pemilikan sumber laut merupakan isu yang menjadi pertikaian dalam kalangan negara-negara sekitarnya. Laut Kaspia kaya dengan minyak dan gas asli.
Aspek sosiobudaya, politik yang rumit serta ciri geografi dan persekitaran menjadikan Laut Kaspia sebagai subjek menarik untuk para penyelidik.
Tasik Superior (82,103 km persegi)
Tasik Superior merupakan takungan air tawar terbesar di Bumi yang terletak di pinggir utara Wisconsin, Amerika Syarikat.
Tasik ini memanjang dari semenanjung atas Michigan utara ke Ontario, Kanada sehingga ke barat pinggir timur Minnesota.
Nama Superior merujuk kepada saiznya dan kedudukan tasik yang paling utara dari semua tasik besar.
Luas tasik ini adalah kira-kira 257 kilometer (km) lebar dan kira-kira 563 km panjang dengan keluasan permukaan 82,100 km persegi serta isipadu 12,100 km padu.
Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), garis pantainya pula berukuran 4,385 km.
Tasik Victoria (69,484 km persegi)
Tasik Victoria merupakan tasik terbesar di Afrika dan takungan utama Sungai Nil yang terletak di Tanzania dan Uganda, tetapi bersempadan dengan Kenya.
Tasik ini mempunyai panjang maksimum 359 km (utara ke selatan) dan lebar maksimum 337 km.
Ia agak cetek dan mempunyai kedalaman maksimum 81 meter (m) dan kedalaman purata 41m. Panjang garis pantai tasik adalah kira-kira 7,142 km dan ia adalah tasik benua kesembilan terbesar di dunia dengan mengandungi kira-kira 2,424 km padu air.
Perairannya memenuhi lekukan cetek di tengah-tengah dataran tinggi yang terbentang di antara Lembah Rift Barat dan Timur
Terdapat banyak pulau di dalam tasik, selain terumbu karang di bawah permukaan air jernih. Tasik Victoria mempunyai lebih daripada 200 spesies ikan sebagai sumber ekonomi penduduk setempat.
Tasik Huron (59,590 km persegi)
Menduduki tangga keempat untuk tasik terbesar di dunia adalah Tasik Huron bersempadan Michigan, Amerika Syarikat di sebelah barat dan Ontario, Kanada di timur.
Tasik ini mempunyai 331 km panjang dari barat laut ke tenggara dengan lebar maksimum 295 km.
Aliran masuk air ke dalam tasik diterima dari Lake Superior, Tasik Michigan dan sungai-sungai yang mengalirkan bersebelahan.
Dengan purata ketinggian permukaan 176m di atas paras laut, tasik ini mencapai kedalaman maksimum 230m.
Banyak pulau terletak di bahagian timur laut tasik, terutamanya Kepulauan Manitoulin dan banyak lagi di Teluk Georgia serta Selat Utara.
Tasik Michigan (57,753 km persegi)
Tasik Michigan merupakan satu-satunya tasik yang terletak sepenuhnya dalam Amerika Syarikat.
Bersempadan dengan negeri Michigan (timur dan utara), Wisconsin (barat), Illinois (barat daya) dan Indiana (tenggara), ia berhubung dengan Tasik Huron melalui Selat Mackinac di utara.
Tasik ini mempunyai panjang kira-kira 517 km dari utara ke selatan dengan lebar maksimum 190 km dan lembangan saliran kira-kira 118,000 km persegi.
Dengan purata ketinggian permukaan 176m di atas paras laut, tasik ini mempunyai kedalaman maksimum 281m.
Kira-kira 100 anak sungai mengalir ke dalam tasik, antaranya Sungai Manistee, Pere Marquette, White, Muskegon, Grand, Kalamazoo, dan St. Joseph.
Pada bahagian utara tasik terletaknya pulau terbesar iaitu Pulau Beaver, Michigan.