BANDAR GAZA – Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan bahawa hampir 20,000 bayi dilahirkan sepanjang tempoh peperangan di Gaza yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu, lapor laman berita TRT World kelmarin.
Menurut jurucakap UNICEF, Tess Ingram, yang baru pulang dari Gaza, bayi-bayi tersebut dilahirkan dalam keadaan yang amat sukar dipercayai dan menyayat hati.
“Seorang bayi dilahirkan setiap 10 minit dalam peperangan yang dahsyat ini. Bergelar ibu sepatutnya menjadi sesuatu yang diraikan, namun tidak di Gaza.
“Melihat bayi yang baru lahir menderita dan sebilangan ibu kehilangan banyak darah sehingga meninggal dunia, sepatutnya membuatkan kita semua tidak dapat tidur lena,” katanya.
Ingram turut menceritakan pertemuannya dengan beberapa wanita di wilayah Palestin itu baru-baru ini sebelum dia pulang ke Geneva, Switzerland.
Seorang wanita hamil, Mashael berkata, rumahnya terkena bedilan bom tentera Israel, manakala suaminya tertimbus di bawah runtuhan selama beberapa hari.
Lebih memburukkan keadaan adalah bayi dalam kandungannya berhenti bergerak.
Mashael menyatakan bahawa dia mengesyaki bayinya sudah mati selepas serangan itu namun, Ingram menambah: “Dia masih menunggu untuk mendapatkan rawatan perubatan.”
Tambah Ingram, seorang jururawat bernama Webda memberitahu bahawa dia telah melakukan pembedahan ke atas mayat enam wanita untuk mengeluarkan bayi dalam tempoh lapan minggu lalu.
“Ibu-ibu di Gaza menghadapi cabaran yang tidak dapat dibayangkan bagi mendapatkan penjagaan perubatan yang secukupnya, pemakanan dan perlindungan sebelum, semasa dan selepas melahirkan anak.
“Keadaan wanita hamil dan bayi baru lahir di Gaza adalah di luar kebiasaan dan ia menuntut tindakan segera,” katanya.
Tambah Ingram, kadar kematian bayi di Gaza buat masa ini bagaimanapun masih tidak diketahui.
“Adalah selamat untuk menyatakan bahawa kanak-kanak di Gaza berada di ambang maut kerana krisis kemanusiaan, serangan bom dan peluru,” ujarnya.
Ingram berkata, hospital lapangan kendalian Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Rafah kini memberi rawatan kepada sebahagian besar wanita hamil di Gaza.
“Bergelut dengan keadaan yang sesak dan sumber yang terhad, kakitangan terpaksa membenarkan ibu keluar dari hospital dalam tempoh tiga jam selepas melakukan pembedahan,” tambahnya.
Jelas Ingram, keadaan itu meletakkan ibu-ibu berisiko mengalami keguguran, kematian bayi semasa dan sebelum dilahirkan, kematian ibu sewaktu kelahiran dan trauma emosi.
“Ramai wanita hamil, ibu yang menyusukan anak serta bayi mereka hidup dalam keadaan menyayat hati termasuk di tempat perlindungan sementara dengan pemakanan yang kurang baik dan tiada bekalan air selamat,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan kira-kira 135,000 kanak-kanak bawah umur dua tahun berisiko mengalami kekurangan zat makanan yang teruk. – AGENSI