fbpx

Dilema cinta dengan ‘Bayya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shima sering berbalas-balas mesej dengan jejaka Bangladesh yang dipanggil Bayya itu di telefon bimbit. – GAMBAR HIASAN

ORANG kata, jodoh telah tertulis di Lauhul Mahfudz dan telah ditentukan sejak seseorang itu belum dilahirkan ke dunia ini lagi.

Begitulah pandangan Shima (bukan nama sebenar) terhadap kisah percintaannya bersama seorang warga asing dari Bangladesh yang bekerja di kilang tempat dia bertugas.

Mahu lelaki itu hanya dikenali sebagai ’Bayya’, Shima berkata, dia tertarik dengan keperibadian lelaki dalam lingkungan umur lewat 20-an itu.

Mereka mula berkenalan apabila Shima ditugaskan membimbing pekerja-pekerja asing sepanjang keberadaan mereka di kilang itu.

Sifat Bayya yang rajin bekerja, jaga solat, bertanggungjawab dan pandai membuat jenaka membuatkan dia sangat disenangi ramai.

Menurut Shima, rupa Bayya yang seakan-akan aktor antarabangsa, Shah Rukh Khan pada era Kuch Kuch Hota Hai itu menambahkan lagi karisma lelaki itu.

“Semua orang di tempat kerja sangat menyenangi Bayya. Dia rajin, baik, bertanggungjawab dan selalu jadi imam solat untuk pekerja-pekerja di sini.

“Rupanya macam Shah Rukh Khan waktu era 90-an dahulu. Jadi ramai yang suka usik dia dengan gelaran itu,” katanya kepada Panorama.

Shima berkata, hubungan mereka menjadi erat setelah Bayya sering merujuknya tentang selok-belok di Malaysia.

Shima akui, dia tidak kekok membimbing Bayya kerana dia juga sudah biasa berkawan dengan bangsa-bangsa lain sejak zaman sekolah lagi.

Mempunyai wajah persis bintang Bollywood, menyebabkan warga asing dari Bangladesh atau Pakistan menjadi idaman sesetengah gadis. – gambar hiasan

Namun, perasaan cinta itu datang secara perlahan dan tanpa dia sedari, dia sudah mula bermain kata-kata cinta dengan lelaki itu dan lelaki itu juga mencintainya.

“Bayya tidak keluarkan ayat-ayat gatal seperti kebanyakan lelaki, tapi dia pandai ambil hati dan menunjukkan cinta melalui perbuatan dia.

“Semakin lama percintaan kami semakin kuat dan saya mabuk dengan cintanya. Kami sering berbalas mesej di telefon bimbit.

“Bagaimanapun, kami tidak menunjukkan cinta macam orang lain,” katanya.

Kongsinya lagi, hubungan mereka terpaksa dirahsiakan kerana dia tidak mahu Bayya dituduh cuba ambil kesempatan terhadapnya.

Shima juga risau sekiranya percintaan mereka boleh menjejaskan kedudukan Bayya sebagai pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Ini kerana, pada November tahun lalu, Jabatan Imigresen Malaysia telah menetapkan bahawa buruh asing yang mengahwini warga tempatan akan diusir balik.

Lebih mengeruhkan keadaan, Bayya juga sebenarnya telah memiliki isteri di Bangladesh yang dikahwininya beberapa bulan sebelum datang ke Malaysia.

“Bayya tidak pernah tipu tentang status perkahwinannya. Dia pernah bercerita mereka kahwin atas dasar permintaan keluarga sahaja.

“Walaupun dia mengakui tidak mencintai isterinya, namun dia tetap hantar nafkah pada setiap bulan. Bayya kata, sayalah cinta sejati dia,” katanya.

Shima juga resah kerana beberapa bulan sahaja lagi permit kerja lima tahun Bayya akan tamat.

Shima mengakui berasa dilema kerana dia tidak tahu cara untuk memastikan hubungan mereka mampu sampai ke jenjang pelamin.

“Saya terlalu cintakan dia, saya tidak tahu bagaimana hidup saya tanpa dirinya,” ungkapnya sugul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI