PETALING JAYA – Kerja keras pelakon Sweet Qistina membuahkan hasil apabila berjaya membeli sebuah rumah pada usia muda.
Meskipun lama mencuba nasib untuk memiliki aset berupa kediaman sendiri, 2024 membuka pintu rezeki buat pemilik nama lengkap Farhanna Qismina Supandi.
“Bertahun-tahun cari rumah. Bertahun juga tunggu nama lepas dekat bank.
“Sampai rasa banyak deposit keluar untuk buat tempahan tetapi Allah kata bukan rezekikan. Kita reda.
“Rumah ini pun sepatutnya tahun lepas dapat kunci tetapi alhamdulillah Allah dah tulis tahun 2024 awak akan dapat kunci,” katanya menerusi Instagram.
Dalam masa sama, isteri kepada aktor Adam Lee itu turut memaklumkan bahawa dia pernah memasang niat akan membeli rumah sebelum berkahwin.
“Rasanya niat pentingkan? Masih ingat bila kita bercakap, sebelum kahwin jom kita pastikan masing-masing dapat beli aset dulu untuk keluarga. Jom buat sama-sama.
“Alhamdulillah sangat. Yang penting Allah bagi rezeki untuk kami berdua betul-betul waktu dah nak tunang,” kongsinya.
Sweet turut berkongsi pengalaman turun naik dirinya bersama ibu yang sering menjadi tulang belakang sepanjang proses pembelian rumah sendiri.
“Kenangan yang paling tak boleh lupa rasanya satu tahun memang ke hulu ke hilir dengan mama pergi tengok rumah contoh.
“Terima kasih mama untuk segalanya baik rumah baharu atau lama, semua pergi tengok.
“Sekarang kita berjaya sayang dan kita mampu lakukan mama. Terima kasih Allah atas pinjaman dunia ini,” ujarnya.
Ramai yang tumpang gembira termasuk rakan artis seperti Daiyan Trisha, Zahirah Macwilson, Nabila Razali dan Riena Diana.
Sweet dan Adam mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober 2022. – KOSMO! ONLINE