fbpx

Teman lelaki Bella antara 3 suspek direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUMAH terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, Batu Pahat inilah lokasi penemuan rangka manusia ditemui, petang semalam.

BATU PAHAT – Polis mengesahkan teman lelaki Bella antara tiga individu yang direman bagi membantu siasatan penemuan rangka manusia yang ditemui, di dalam sebuah bilik rumah terbiar, di Jalan Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kurier itu ditahan reman bersama dua lagi suspek masing-masing berusia 20an dan 40an.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ya, salah seorang suspek iaitu suspek utama adalah teman lelaki kepada Mila Sharmila Samsudah, 32, yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 27 Januari ini untuk membantu siasatan,”katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail memaklumkan sampel patalogi rangka manusia yang ditemui kira-kira 2 petang semalam, sudah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi mendapatkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Katanya, ujian DNA dijalankan bagi mengenal pasti identiti rangka yang ditemui terbabit sepadan dengan ahli keluarga Bella atau tidak.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu hasil siasatan ke atas ketiga-tiga individu yang ditahan mendapati salah seorang suspek utama membawa polis menunjukkan lokasi penemuan rangka manusia yang tidak sempurna terbabit.

Sebelum ini, polis mengesahkan menahan reman teman lelaki kepada ibu tunggal dua anak itu pada 25 Disember tahun lalu sebelum dibebaskan selepas tempoh tahanan reman tamat pada 30 Disember.

Bella dilaporkan hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada pukul 11.50 malam pada 14 Disember lalu dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI