fbpx

K2

Tekstur tambah seri ruang ringkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruang ringkas minimalis diserikan dengan elemen-elemen bertekstur.

DALAM bidang reka hias dalaman, konsep minimalis telah lama dikaitkan dengan ruang ringkas, tersusun dan memiliki fungsi.

Namun kebelakangan ini, suntikan unsur kontemporari pada nilai estetika tersebut mendapat nama baharu iaitu warm minimalist.

Konsep tersebut merupakan pilihan Awyn Othman, 35, dan suaminya, Ejoy Esmail, 40, dalam menata hias kediaman terrace link house miliknya di Puncak Alam, Selangor.

Menurutnya, selain memberikan nilai estetika yang menambat hati, konsep itu juga dapat memberikan suasana yang tenang dan selesa pada kediaman.

“Saya memilih konsep ini kerana ia mempromosi suasana yang kemas tetapi dalam masa yang sama ia memiliki tekstur dan tidak terlalu kosong.

“Dalam konsep ini, saya menekankan warna alam semula jadi, elemen kayu dan juga pencahayaan yang lembut,” katanya kepada K2.

Dinding berwarna putih menjadi warna asas kepada ruang tamu kediaman berkeluasan 1,421 kaki persegi (132 meter persegi) itu.

Ketiadaan corak pada perabot dan karpet menyerlahkan ciri minimalis yang diidamkan pasangan tersebut.

Penambahan tekstur boleh dilihat menerusi kepelbagaian reka bentuk kerusi dan hiasan dinding dengan warna yang berbeza di ruang tamu.

Menurut suri rumah tersebut, perabot dan hiasan dalaman rumahnya dibeli daripada pelbagai sumber sekali gus menyerlahkan kreativiti pemilik kediaman.

“Tiada satu tempat khusus saya beli barangan dekorasi rumah. Ada yang saya beli di Lazada, ada juga saya beli di kedai perabot.

“Saya juga menempah perabot khas mengikut rekaan tersendiri dari Indonesia seperti meja makan kami itu,” katanya.

Sementara itu, warna biru gelap dijadikan tema ruangan pejabat dalam kediaman bagi menampakkan lagi ciri urban dan elegan ruang tersebut.

Bilik tidur tampak selesa menerusi penggunaan warna lembut.

Bagi menambahkan kontras, warna putih diselitkan menerusi pemilihan perabot dan lampu sekali gus menambahkan efek menarik pada ruang tersebut.

Di ruang bilik pula, penerapan warna hijau lumut pada dinding menaikkan mood tenang seakan-akan berada di alam semula jadi.

Pada bahagian ini, warna putih diterjemahkan melalui perabot, lampu, cadar dan bunga.

Menjengah ke ruang dapur, elemen minimalis pada bahagian kabinet putih diseimbangkan dengan tekstur pada tile mozek berwarna biru dan berbentuk sisik.

Mengulas mengenai inspirasi, ibu kepada dua orang anak itu mengakui tidak menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman.

“Kebanyakan inspirasi dan idea saya dirujuk daripada aplikasi Pinterest, hotel, majalah rekaan dalaman dan media sosial.

“Ada beberapa rekaan saya yang dibuat secara sendiri (DIY). Kadang-kadang saya ikut idea dekorasi yang trendy,” katanya.

Mengulas berkenaan bajet, bekas jurutera hotel itu berkata, dekorasi rumah yang memakan masa dua tahun untuk disiapkan itu menelan belanja sekitar RM70,000.

Walaupun begitu, masih lagi ada beberapa ruang yang masih belum sempat diubah suai dan akan terus ditambah baik pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI