SUNGAI PETANI – Seorang peniaga tidak menyangka kedainya di Tikam Batu di sini menjadi tumpuan dua minggu berturut-turut selepas dia menjual sotong pelbagai gred pada harga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.
Roslan Abd. Razak, 54, berkata, sotong itu dijual pada harga antara RM18 hingga RM38 sekilogram berbanding pasaran biasa iaitu RM28 hingga RM48.
Katanya, dia menjual murah kerana mendapat harga borong dari negara jiran.
“Perniagaan hasil laut tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana pergolakan politik di negara jiran jadi berlaku lambakan dan harga jatuh.
“Sebab itu saya import hingga 14 tan metrik sotong segar dan sudah dua minggu jualan saya mendapat sambutan luar biasa,” katanya.
Menurut Roslan, kebanyakan pelanggan gembira dapat membeli sotong dengan kuantiti banyak dan murah untuk dimakan bersama keluarga.
Tambahnya, dia bercadang untuk meluaskan jualannya ke Kulim, Pendang dan Kepala Batas kerana bekalan dijangka berterusan sehingga awal Mac ini.