ISKANDAR PUTERI – Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila kerugian RM570,174, selepas terpedaya dengan helah scammer yang menyamar sebagai adik kandungnya.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 31 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.20 petang, hari ini.
Katanya, terdahulu, mangsa menerima pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp yang dipercayai dihantar oleh adiknya yang berusia 29 tahun meminta wang berjumlah RM570,174 bagi tujuan perniagaan.
“Tanpa berasa ragu, mangsa terus melakukan pemindahan wang ke dalam akaun diberikan suspek sebelum menghubungi adiknya dan bertanyakan perkara tersebut.
“Adik mangsa bagaimanapun telah menafikan ada meminta sejumlah wang tersebut, menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu dan terus membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rahmat, sejumlah wang itu dipindahkan menerusi satu transaksi kewangan atas talian pada hari sama dan susulan itu, satu kertas siasatan berhubung kejadian ini serta kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE