fbpx

Rating menjunam? Tyzo dedah bukti Suria Petang pendengar teramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TYZO mendedahkan bukti bahawa segmen kendaliannya, Suria Petang mencatat jumlah pendengar paling tinggi di Suria FM.

PETALING JAYA – Penyampai radio sensasi, Tyzo mendedahkan jumlah pendengar segmen kendaliannya Suria Petang adalah yang tertinggi bagi tahun 2022 dan 2023, sekali gus menangkis dakwaan pengurusan tertinggi stesen radio terbabit.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain berkata, berdasarkan kaji selidik yang dibentangkan sendiri oleh pengurus besar radio tersebut, segmen kendaliannya mencatat rating yang paling ramai pendengar sepanjang empat kali kaji selidik.

“Kecoh sangat pasal rating, biarlah gambar berbicara. Ini datang rating jumlah pendengar.

“Alhamdulillah bagi tahun 2022 hingga 2023, Suria Petang berada di tangga teratas segmen sepanjang empat kali survey (kaji selidik) berturut-turut.

“Gambar tersebut dibentang dan ditulis tangan sendiri di papan putih oleh GM (pengurus besar). Sekian,” katanya sebagai kapsyen gambar yang dimuat naik dalam Instagram.

Menerusi untaian foto yang dikongsikan, terpampang jumlah pendengar segmen Suria Petang yang masing-masing mencatat angka, 1.73 juta dan 1.56 juta.

Terdahulu, Pengerusi Star Media Radio Group, Datuk Muhammad Aminuddin Mohd. Rouse memaklumkan, kemenangan Tyzo pada Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) tidak memberi sebarang impak terhadap jumlah pendengar segmen Suria Petang yang dikendalikan bersama Sharifah Shahirah.

“Kesan kemenangan Tyzo pada ABP35 memang tiada bahkan jumlah pendengar semakin menurun dan itu kenyataannya.

“Bagi saya, sesuatu perlu dilakukan demi pembaharuan Suria FM dan penamatan kontrak Tyzo adalah salah satu caranya,” ujarnya.

Semalam, Suria FM turut mengumumkan tiga penyampai baharu iaitu Datuk Fizz Fairuz yang bakal menyertai segmen Morning Morning Suria, Chiwan Chilok (Suria Petang) dan Kai Hasan (Morning Morning Suria serta Carta Suria Top 40).

Minggu lalu, Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai segmen Suria Petang, berakhir atas alasan strategi tahun 2024.

Tyzo menerusi hantarannya dalam Facebook meluahkan kekecewaan tidak rela disingkirkan daripada stesen radio berkenaan.

Penyampai berusia 48 tahun itu turut menyifatkan penyingkirannya sebagai harga yang terpaksa dibayar selepas meraih anugerah Penyampai Radio Popular pada ABP tahun lalu.

Susulan itu, ramai pendengar setia menzahirkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang mahu memboikot Suria FM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI