SEGAMAT – Dua aduan polis telah diterima pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat berhubung penyebaran kenyataan dan perkongsian video di media sosial Tiktok oleh pemilik akaun Abang Soyaaa baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, laporan video atas tajuk ‘terima kasih UiTM Segamat atas peristiwa ini dan ‘saya diberhentikan meniaga di UiTM’ melalui akaun TikTok menggunakan nama najmudin.shukor atau ‘Abang Soyaaa’ telah diterima pada 18 Januari 2024.
“Kedua-dua aduan polis yang diterima itu telah diambil tindakan rujukan kepada mahkamah dan tindakan lanjut oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Pihak IPD Segamat telah mengesan dan mengambil maklum penyebaran kenyataan dan perkongsian video di media sosial atas tajuk ‘terima kasih UiTM Segamat atas peristiwa ini dan ‘saya diberhentikan meniaga di UiTM.’
“Kedua-dua video itu dimuat naik melalui akaun TikTok yang menggunakan nama ‘Abang Soyaaa.’
“Bagaimanapun, dalam masa sama, masih belum ada sebarang aduan polis daripada ‘Abang Soyaaa’ di mana-mana balai polis di bawah pentadbiran IPD Segamat,” katanya ketika ditemui di IPD Segamat, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor bakal bersemuka dengan Abang Soyaaa dan mengambil maklum berkenaan video di sosial media TikTok Abang Soyaaa yang tular pada 18 Januari 2023 lalu berkaitan UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. – KOSMO! ONLINE