DOHA – Kapten Korea Selatan, Son Heung-min mengharapkan tuah bumi Qatar untuk membantu negaranya menamatkan kemarau trofi Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh lebih 64 tahun.
Menurut Heung-min, Qatar banyak memberikan kenangan manis buatnya apabila menjaringkan gol pertama antarabangsa buat negaranya sewaktu edisi Piala Asia 2011 dengan menewaskan India 4-1.
“Saya sentiasa ingat gol pertama antarabangsa saya ketika bertemu India sewaktu Qatar menjadi penganjur edisi 2011. Ketika itu saya baru berusia 18 tahun.
“Saya kembali bermain di sini dan sudah tentu saya mengharapkan Korea Selatan lebih bertuah pada kali ini.
“Kami sudah lama tidak memenangi Piala Asia, hampir 64 tahun dan saya mahu semua pemain bekerja keras untuk membantu pasukan merealisasikan impian tersebut,” katanya.
Penyerang prolifik Tottenham Hotspur itu percaya pengalaman dalam tiga edisi terdahulu banyak membantu pasukan untuk tampil lebih matang.
“Setiap pasukan berbeza dan anda tidak boleh bandingkan skuad 2011, 2015, 2019 dan sekarang kerana jurulatih serta taktikal tidak sama. Namun, misi kami sama untuk memastikan negara mencapai kejayaan,” katanya.
Taeguk Warriors berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik apabila bertemu Jordan di Stadium Al Thumama malam ini. – AGENSI