KANGAR – Seorang peniaga shawarma berjaya merakam audio ketukan misteri dalam satu kejadian di rumahnya di Kampung Santan dekat Padang Besar awal pagi Selasa lalu.
Berkongsi detik-detik kejadiaan, Musabbir Mat Rashid, 33, mendakwa dia ketika itu baru sahaja bangun untuk menyiapkan bahan jualannya sebelum menerima ketukan pintu pada pukul 4.27 pagi.
“Ketukan pertama membuatkan saya membuka penyelak pintu sebelum mengambil telefon bagi merakam sekiranya ada sesuatu yang tidak kena kerana rumah saya pernah menerima gangguan lain sebelum ini.
“Selepas itu, pintu rumah saya diketuk lagi dan saya bertanyakan siapa di luar rumah namun tidak disahut dari luar,” katanya ketika ditemui di Pasar Pagi (Nat) Batu 2 di sini hari ini.
Tambahnya, selepas tidak disahut, dia membuat keputusan membuka pintu sepantas mungkin dan mencari sekiranya ada individu di sekeliling rumah menggunakan lampu suluh namun gagal mengesan sesiapa.
“Saya kemudian masuk semula ke dalam rumah namun belum pun sempat pintu ditutup dengan rapi, saya menerima ketukan kali ketiga menyebabkan saya berasa gerun dan terus ke tempat tidur.
“Rumah saya ketika itu didiami isteri bersama dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun, namun mereka semua sedang tidur dan tidak menyedari perkara tersebut,” jelasnya.
Kosmo! semalam melaporkan sebuah video berdurasi satu minit 16 saat dimuat naik di laman sosial Facebook menerusi akaun Noor Syafiqah memaparkan rakaman visual dan audio seorang lelaki mendengar ketukan pintu.
Ia dikatakan mempunyai kaitan dengan ‘ketukan misteri’ dikesan terjadi di beberapa kawasan sekitar Perlis yang bermula sejak Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE