KLANG – Para pemimpin kaum India dinasihatkan agar tidak terbawa-bawa dengan sentimen melampau yang tidak akan menguntung negara.
Perdan Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan ini akan melaksanakan apa telah disuarakan dengan turut menghadapi tuntutan lain daripada semua kaum di negara ini.
Justeru, Anwar menegaskan kerajaan mengekalkan semangat Madani dengan adil bagi semua kaum.
“Apabila saya sebut begini, bukan mudah kerana ada di kalangan rakan dan kaum saya sendiri menyerang kita (dengan menyatakan) tidak adil kepada mereka. Saya tidak mahu jawab dan tidak peduli.
“Saya mahu ceritakan apa kita lakukan. Masalah rakyat, masalah kita. Saudara-saudara tahu, saya banyak kali ke Klang dan bila tumpu (kemiskinan), kritik kita kerana kerajaan dulu kurang beri perhatian untuk jaga nasib rakyat yang paling miskin.
“Jadi, tahu kita lancarkan mana-mana anak, keluarga masuk kategori miskin tegar..kita kata mesti noktahkan tahun lalu juga,” katanya ketika berucap pada sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan di Dataran Majlis Perbandaran Klang, hari ini.
Anwar memberitahu, kemiskinan tegar telah berjaya diatasi di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan berdasarkan laporan akhir telah diterima beliau.
Jelasnya, beliau tidak mahu mengkhususkan kepada sesetengah kaum dengan isu kemiskinan amat dekat di hati dan merupakan masalah negara.
“Selangor pula sudah tentu kerajaan negeri dapat urus dengan baik, boleh dan mampu menyelesaikan. Jadi, saya yakin kalau masuk Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, ‘beres’ masalah kemiskinan tegar,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya hadir dengan tanggungjawab yang besar dan memerlukan dasar kerajaan yang jelas.
“Saya tidak jadi Perdana Menteri, selepas hidup susah dengan melupakan janji. Baik Perdana Menteri, Menteri Besar, Exco yang mahu menjadi pemimpin perlu siap dengan dasar yang jelas,” katanya. – KOSMO! ONLINE