fbpx

KPM tumpu ekosistem pendidikan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika menyampaikan amanat beliau di Putrajaya semalam.

PETALING JAYA – Membina Ekosistem Pendidikan Digital antara lima inisiatif atau Prakarsa Pendidikan Madani yang menjadi penekanan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menyokong agenda pendigitalan yang ditekankan oleh Kerajaan Madani.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif tersebut juga selari dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan tahun lalu.

Tambah beliau, beberapa inisiatif KPM itu juga telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, misalnya Pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), yang mendapat Recognition of Excellence 2023 daripada OpenGovAsia, Special Mention: The Inter-Agency Award oleh GovInsider dan Learning Pioneer Country Award 2024-2025 daripada UNICEF.

“Ini membuktikan bahawa komitmen KPM dalam menyediakan sumber pendidikan berkualiti melalui DELIMa yang tidak hanya menyediakan pelbagai sumber pendidikan digital terkini malah merangkumi akses kepada alat kecerdasan buatan seperti Bard, Perplexity, Claude, Conker, dan Chat GPT.

“Isu akses pendigitalan di kawasan luar bandar dengan memperkasa akses kepada sumber pembelajaran digital di kawasan luar bandar dan pedalaman melalui inisiatif memperkasa Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) juga tidak dilupakan,” katanya dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KPM di Putrajaya semalam.

Bukan itu sahaja, sebagai Pusat Kecemerlangan, PKG dan SSTP diberi peralatan dan perkakasan studio digital serta hab penghasilan digital pada Disember 2023.

Dengan adanya langkah tersebut, penggunaan Pusat Kecemerlangan sebagai pusat untuk peningkatan kompetensi digital murid dan guru, hab pembangunan kandungan digital berkualiti, serta wadah percambahan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran boleh disemarakkan.

Dalam meningkatkan penggunaan teknologi dan inovasi, Advance Integrated NILAM System (AINS) dibangunkan melalui Program MyHackathon Kohort 2/2022 yang dipacu oleh MOSTI dan Cradle Fund Sdn. Bhd. sebagai agensi pelaksana.

Dalam pada itu, AINS yang merupakan aplikasi mudah alih yang direka bagi memudahkan murid merekod bahan bacaan berasaskan teknologi untuk menggantikan sistem perekodan membaca murid secara manual iaitu NILAM yang telah digunakan sejak tahun 1999.

AINS dilengkapi dengan permainan, penilaian dan cadangan bahan bacaan. Aplikasi interaktif ini membolehkan murid mendapatkan mata ganjaran yang boleh ditebus bagi menggalakkan mereka membaca.

Melalui AINS, pihak ibu bapa, guru, pentadbir pada peringkat sekolah, PPD, JPN dan KPM dapat memantau status dan tahap pencapaian NILAM murid pada peringkat bilik darjah, aliran, sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan melalui dashboard yang disediakan.

Sekaligus menggalakkan budaya membaca yang lebih aktif serta menyumbang kepada keintelektualan negara. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI