fbpx

Kecilkan operasi di Asia Tenggara, Foodpanda Malaysia tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, Foodpanda telah melaksanakan langkah pemberhentian pekerja di Asia Tenggara selepas 11 tahun terlibat dalam perniagaan berkenaan, sekali gus menjejaskan masa depan pekerja dan penghantar makanannya menjelang tahun baharu ini.

Situasi itu dijangka bertambah buruk selepas syarikat gergasi penghantaran makanan yang berpangkalan di China, iaitu Meituan pada hujung November lalu mengesahkan tidak berminat untuk mengambil alih Foodpanda di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, syarikat di sebalik Foodpanda di Berlin, Jerman, Delivery Hero sedia menyatakan bahawa mereka dalam proses ingin menjual operasi Foodpanda di Asia Tenggara dan turut  mengesahkan sedang membuang sejumlah pekerja Foodpanda di rantau ini.

Buat masa ini, jumlah pekerja yang terkesan tidak dinyatakan secara terperinci. Foodpanda sebelum ini sedia mengurangkan tenaga kerja mereka di rantau ini pada September 2022 dan juga pada Februari 2023.

Penghantar foodpanda.

Ini adalah kali ketiga Foodpanda melakukan proses pengurangan tenaga kerja di rantau ini dalam tempoh jangka masa setahun.

Foodpanda menyatakan langkah pengurangan tenaga kerja ini adalah dalam usaha menjadikan mereka lebih efisien dan menjadikan operasi mereka lebih berstruktur.

Namun difahamkan, pengurangan tenaga kerja ini tidak melibatkan rakan penghantar Foodpanda dan lebih kepada bahagian pengurusan dan operasinya sahaja.

Pengurangan tenaga kerja ini hadir selari laporan menyatakan operasi Foodpanda di rantau ini sedang dalam perbincangan untuk dijual kepada beberapa pihak berpotensi, namun tidak dinyatakan pihak mana yang akan mengambil alih.

Sementara itu, Foodpanda menegaskan pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan penghantar makanannya walaupun terdapat dakwaan mereka tidak mendapat bayaran setimpal.

Memetik satu laporan berita dari sebuah portal tempatan, Foodpanda berkata, ia menganggap penghantar makanan sebagai tulang belakang operasi dan ekosistem, yang dicerminkan menerusi pelaburan berterusan dalam program sokongan penghantar makanan.

Syarikat itu memaklumkan, mereka sentiasa memastikan fleksibiliti kerja dan bayaran yang adil kepada penghantar makanan.

“Terdapat pelbagai faktor yang menentukan pendapatan rakan kongsi, seperti jarak penghantaran, jumlah pesanan, kesediaan penunggang dan lonjakan bayaran pada waktu puncak.

“Penarafan kumpulan penghantar bukan semata-mata penentu kepada pendapatan mereka. Malah, untuk memastikan ketelusan, penghantar makanan boleh melihat pesanan sebelum menerima tempahan.

“Di Malaysia, kita bekerjasama dengan PolicyStreet untuk menyediakan perlindungan insurans untuk penghantar makanan ketika mereka bertugas. Ia adalah perlindungan insurans komprehensif dan mempunyai pembayaran tertinggi dalam industri,” katanya.

Foodpanda juga memaklumkan penghantar makanan turut diberikan pilihan untuk mendapatkan perlindungan tambahan untuk diri dan keluarga selepas waktu bekerja pada kadar subsidi selain daripada caruman Perkeso.

“Kami merancang untuk meneruskan kempen bagi menggalakkan penghantar makanan mendaftar tahun ini. Mereka akan menerima notifikasi dan peringatan untuk mematuhi peraturan lalu lintas ketika berada di jalan raya.

“Lebih-lebih lagi, kami tidak mengenakan penalti kepada mereka untuk penghantaran yang lambat dan tidak mempunyai hasrat untuk menetapkan polisi seumpama itu pada masa depan.

“Namun jika mereka mendapat aduan yang tidak berasas, mereka boleh mempertikaikannya menerusi sistem sokongan dalaman di mana aduan-aduan akan ditangani secara manual,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI