fbpx

Kartel perolehan TLDM: Mindef alukan siasatan, ambil tindakan sewajarnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA individu dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman kerana disyaki terlibat sebagai orang tengah sindiket kartel perolehan TLDM di Mahkamah Majestret, Johor Bahru. - Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan mengalu-alukan siasatan berhubung penahanan tiga lelaki dipercayai bertindak sebagai dalang kepada ‘kartel perolehan’ membabitkan kerja pembinaan di sebuah Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai lebih RM9 juta di Johor.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian akan memberi kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan tersebut dapat diselesaikan.

“Ada siasatan dibuat biarlah kita beri segala kerjasama supaya siasatan itu dapat diselesaikan dan kita harap supaya tindakan-tindakan sewajarnya diambil.

“Sebagai menteri saya amat mengalukan dan akan memberi kerjasama kepada pihak SPRM.

“Saya harap perkara ini menjadi pengajaran supaya projek-projek kerajaan yang telah diluluskan benar-benar sampai ke sasaran,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti MADANI Sedili Kota Tinggi di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar, Kota Tinggi, di sini hari ini.

Terdahulu, TLDM mengesahkan beberapa anggotanya dipanggil SPRM susulan siasatan kes ‘kartel perolehan’ membabitkan kerja pembinaan di sebuah kem di Johor.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, empat poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal dibina iaitu di Kluang, Johor; Seberang Takir, Terengganu, Sungai Petani, Kedah dan Kuantan, Pahang akan dilaksanakan tahun ini.

“Tahun ini (Poliklinik) akan di bina sekarang ini tengah buat spesikasi dan akan buka untuk tender,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI