fbpx

Jangan cari bomoh, pawang selesaikan ketukan misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Penduduk yang terkesan dengan ketukan misteri atau dakwaan gangguan ‘orang minyak’ dinasihatkan tidak mencari jalan penyelesaian mudah dengan mencari bantuan bomoh atau pawang yang mengamalkan kaedah perubatan bertentangan ajaran Islam.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, tindakan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan menambahkan lagi masalah yang dihadapi.

Menurutnya, umat Islam harus yakin dengan pegangan tauhid kepada Allah SWT agar tidak jatuh ke dalam mensyirikkan-Nya

“Sebagai orang Islam, kita perlu percaya bahawa setiap yang terjadi dalam kehidupan kita berlaku dengan izin Allah SWT. Maka kita hendaklah yakin bahawa ini semua adalah ujian kepada kita.

“Kita semua adalah hamba Allah dan makhluk yang lemah. Maka Allah adalah zat yang kita untuk mendapat perlindungan daripada segala bahaya dan bencana.

“Jika benar kejadian ketukan misteri itu adalah gangguan golongan jin yang fasik, yang memang berusaha untuk menganggu dan menjauhkan manusia daripada Allah SWT, maka amalan dan bacaan yang kita lakukan sebaliknya dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gangguan ketukan misteri atau dakwaan gangguan orang minyak dikatakan menganggu penduduk di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Faudzinaim berpandangan, perkara tersebut adalah termasuk hal ghaib yang mesti berpandukan al-Quran dan hadis.

“Dalam perkara berkaitan misteri gangguan ketukan pintu atau dakwaan bahawa itu gangguan orang minyak, kita tidak dapat memastikan punca sebenar terjadinya ketukan kerana tidak mempunyai bukti kukuh.

“Besar kemungkinan gangguan misteri tersebut adalah disebabkan oleh gangguan daripada golongan jin atau syaitan jahat atau fasik yang suka mengganggu manusia.

“Saya memahami perasaan penduduk di kawasan yang terlibat yang dilanda kebimbangan akibat gangguan misteri itu. Bagaimanapun, mereka tidak terikut-ikut perasaan tersebut hingga menganggu aktiviti seharian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan yang wajar diambil ialah dengan melakukan amalan kerohanian bersama ahli keluarga bagi meningkat ketahanan diri dalaman berdasarkan pertunjuk daripada al-Quran dan Hadis.

“Antaranya ialah membaca al-Quran pada malam hari dan zikir. Paling sedikit ialah membaca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan berselawat. Penduduk boleh juga membaca doa daripada hadis sahih riwayat Imam Ahmad pada setiap kali berlakunya ketukan misteri itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI