IKAN layaran tergolong dalam keluarga ikan billfish iaitu ikan yang bermuncung panjang atau berparuh dan juga satu keluarga dengan ikan mersuji (marlin) dan ikan pedang (sword fish).
Ikan layaran yang merupakan spesies ikan plagik boleh dikenali menerusi bentuk badannya yang memiliki sirip dorsal seumpama layar kapal dan kembang dengan warna hitam kebiruan, selain turut memiliki sirip layar paruh dan lawi.
Sifatnya yang agak ganas selain kerap melakukan aksi akrobatik ke udara tatkala cuba melawan daya tarikan tali pancing membuatkan ia menjadi antara spesies buruan para kaki pancing.
Justeru, tidak hairanlah apabila spesies tersebut turut menarik minat Mohd. Azri Mohd. Rafi, 34, untuk turut memburu ikan berkenaan bagi mencari kepuasan sewaktu melunaskan hobinya itu.
Menurut anak jati Kelantan yang kini menetap di Kuala Terengganu itu, kebiasaannya ikan layaran mudah untuk diburu ketika awal tahun antara bulan Mac hingga April.
Selain itu katanya, spesies berkenaan yang gemar bermain di kawasan terumbu dan berbatu yang mempunyai banyak kumpulan ikan kecil juga boleh dikatakan mudah untuk diburu pada hujung tahun antara Oktober hingga Disember.
Bagi memburunya, para pemancing lazimnya akan menaiki bot bagi memudahkan mereka memasang umpan menggunakan teknik ‘trolling’.
“Bagaimanapun, kaedah saya agak berbeza kerana saya tidak menaiki bot, sebaliknya saya akan menggunakan kayak untuk memburu ikan layaran.
“Walaupun saya turut menggunakan teknik ‘trolling’, tetapi melakukannya dengan menggunakan kayak agak sukar dan mencabar kerana daya tarikan kayak tidak sekuat bot,” katanya.
Bercerita lanjut, Mohd. Azri memberitahu, dia lebih kerap turut ke kawasan perairan Kuala Terengganu, Pantai Penarik, Pantai Merak, Pantai Batu Rakit dan Pantai Kemaman untuk memburu pelbagai spesies ikan dengan menaiki kayak.
Mengenai jenis umpan yang digunakan pula katanya, dia biasanya akan menggunakan umpan hidup atau gewang bagi memburu ikan layaran.
Bagi set joran pula, dia akan menggunakan set ‘trolling’ untuk aksi sederhana dengan dipadankan dengan saiz tali utama dan tali perambut masing-masing 30 paun.
“Teknik ‘trolling’ menggunakan kayak memang mencabar terutama ketika umpan dibaham ikan layaran bersaiz besar.
“Ini kerana, daya tarikan ikan layaran ini sangat kuat dan ia mampu menarik kayak jauh ke tengah laut sejauh 2 kilometer hingga 3 kilometer.
“Jika tidak kena pada gayanya, kayak juga boleh terbalik terutama ketika kita cuba menaikkan ikan layaran ke atas kayak,” katanya.
Jelas Mohd. Azri, sejak aktif memburu ikan layaran menggunakan kayak sejak empat tahun lalu, ikan tersebut yang paling besar pernah dinaikkan adalah seberat 21.6 kilogram.
Katanya lagi, memandangkan ikan layaran merupakan spesies yang kerap dijadikan buruan dalam sukan memancing, selain juga spesies terlindung, maka ikan yang berjaya dipancing biasanya dilepaskan semula.
“Di sebalik sifatnya yang ganas dan mempunyai daya lawan yang kuat, ikan layaran ini sebenarnya sangat mudah mati.
“Jadi, kebiasaannya kalau saya berjaya menaikkan ikan layaran, saya akan segera bergambar dan akan cuba melepaskan semua ke laut secepat mungkin.
“Ia bagi membolehkan ikan tersebut dapat kembali ke habitatnya, sekali gus memastikan spesies tersebut dapat membiak di habitat asalnya.
“Ia juga bagi memastikan kesinambungan aktiviti sukan memancing dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang dengan menjadikan ikan layaran sebagai antara spesies buruan,” katanya.