PETALING JAYA – Tidak dijumpai mana-mana nas syarak yang menyebutkan, membiarkan pakaian bersidai di ampaian pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan menjelaskan, meskipun begitu, hal ini boleh dikategorikan sebagai pantang larang orang tua-tua masyarakat Melayu yang bertujuan mendidik generasi muda agar tidak keluar rumah di waktu senja.
“Rasionalnya ialah waktu senja merupakan waktu syaitan berkeliaran dan waktu tersebut sebaiknya berada dalam rumah agar tidak terkena sampuk.
“Perkara ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang melarang keluar rumah ketika senja dan menyuruh supaya kesemua pintu rumah ditutup,” katanya dalam kenyataan.
Penjelasan itu susulan soalan daripada pengirim yang bertanyakan sama ada membiarkan pakaian bersidai pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan.
Hal ini kerana pengirim tersebut serta suaminya bekerja dan kadangkala sampai lewat di rumah terutama waktu senja sekali gus tidak sempat mengangkat pakaian di ampaian.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan, masyarakat Islam Nusantara terkenal dengan pantang larang orang tua-tua.
“Hal ini bertujuan mendidik generasi muda agar dapat mempraktik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
“Meskipun kadang-kadang akibat daripada melanggar pantang larang itu tidak tercapai dek akal dan tidak berpijak pada bumi nyata, namun ia mempunyai nilai-nilai murni yang mampu mendidik generasi muda secara langsung mahupun tidak langsung,” menurut kenyataan tersebut.
Unsur nilai yang diperolehi daripada pantang larang tersebut adalah pelbagai seperti sikap hormat, bersopan santun, sentiasa berwaspada, berbudi pekerti dan seumpamanya. – KOSMO! ONLINE