KOTA BHARU – Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan nyaris maut dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kuala Krai, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, anggota itu dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran kawasan operasi untuk mendapatkan rawatan lanjut..
“JPJ Kelantan akan membuat laporan polis dan identiti suspek itu yang dipercayai merupakan lelaki warga asing masih belum dikenal pasti.
“Kita tidak menolak kemungkinan suspek bertindak sedemikian selepas memandu kereta curi atau membawa barangan salah,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Pengarah JPJ, di sini malam tadi.
Mohd. Misuari memberitahu, beliau akan mendapatkan bantuan polis termasuk risikan JPJ Kelantan bagi mengesan kenderaan yang dipandu suspek untuk membuat tangkapan segera.
Katanya, ini merupakan kejadian pertama yang berlaku kepada anggota tersebut yang sudah lebih 10 tahun bertugas menerusi pelbagai operasi JPJ.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Misuari berkata, sebanyak 109 notis saman telah dikeluarkan dan lima motosikal disita sepanjang operasi tersebut yang bermula dari pukul 8 hingga 10.30 malam tadi. – KOSMO! ONLINE