SEBERANG PERAI – Sebanyak 120,000 akaun pengguna Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Daerah Barat Daya akan mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 16 jam susulan kerja lencongan selepas pemasangan dua saluran paip 600 milimeter (mm) di Sungai Perai, Februari depan.
Bagaimanapun, tarikh gangguan bekalan air itu akan diumumkan selepas syor SWSI dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Rabu ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerja pemasangan paip baharu sementara itu sudah mencapai 50 peratus dan dijangka siap pada 2 Februari nanti.
“Selepas pemasangan kedua-dua paip itu siap, kita perlu lakukan sambungan paip sedia ada kepada paip baharu untuk buat lencongan air dan ia akan melibatkan penutupan injap (valve) di Mee Udang Sungai Dua.
“Ia perlu dilakukan supaya air tidak mengalir sekali gus membolehkan kerja-kerja sambungan ini dapat dilakukan,” katanya selepas memantau kerja pemasangan paip baharu sementara di Taman Bandar Ampang Jajar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi PBAPP berkata, saluran paip sementara itu akan berfungsi sekurang-kurangnya lapan bulan sementara menunggu projek baharu kekal disiapkan.
“Selepas projek kekal ini siap, kita akan tanggalkan kembali paip sementara yang dipasang kerana ia memberi bebanan kepada jambatan Sungai Perai,” katanya. – KOSMO! ONLINE