KUALA LUMPUR – Bomba menemukan jasad seorang wanita yang terbakar di belakang lorong kedai di Taman Megah, di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu kira-kira pukul 3.47 pagi tadi.
Katanya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Damansara telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera.
Komander Operasi, PBK II Muhamad Munir Syueb melaporkan, seorang wanita yang berada di belakang lorong kedai telah terbakar 90 peratus dan tidak sedarkan diri.
“Anggota terus bertindak memadamkan api terhadap jasad wanita tersebut. Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.