fbpx

Usaha sama EPOMS, Pahang Skills, UTP perkasa tenaga kerja dalam industri minyak, gas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy (dua dari kanan) melancarkan produk PROSPECTS bersempena pemeteraia MoU antara EPOMS, Pahang Skills dan UTP di Kuantan baru-baru ini,

PETALING JAYA – E&P O&M Services Sdn. Bhd. (EPOMS) telah memeterai memorandum persefahaman dengan Pahang Skils dan Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Teknologi Petronas (UTP) bertujuan untuk menyediakan tenaga kerja dalam industri minyak dan gas di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EPOMS, Zulkarnain Ismail berkata, kerjasama ini juga bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bakal graduan dalam industri minyak dan gas serta memastikan mereka memenuhi piawaian industri. 

“Program yang kita mulakan ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, ini adalah komitmen untuk memupuk bakat, mendorong inovasi dan membina ekosistem yang berterusan bagi memajukan industri kita ke hadapan

“Kerjasama antara Pahang Skills dan UTP  akan mencipta sinergi yang merapatkan jurang antara akademik dan industri serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi kemahiran, pengetahuan dan daya saing serta penyesuaian yang diperlukan untuk berkembang dalam landskap yang sentiasa berubah ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara entiti tersebut yang telah disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan baru-baru ini.

Pemeteraian MoU tersebut telah diwakili oleh Pengarah EPOMS, Datuk Mohd Pathil Ahmad, Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Mohd. Yusri Mohd. Nor dan Naib Canselor UTP, Profesor Datuk Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Selain itu, Zulkarnain menerangkan, kerjasama tersebut bakal menyaksikan syarikat itu akan memimpin pembangunan modul latihan terkini, memastikan program yang merangkumi aspek pengetahuan teori dan aplikasi praktikal itu berjalan lancar.

 Pahang Skills pula akan merangka program jangka pendek, sijil kecekapan profesional dan diploma manakala UTP melalui Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional memainkan peranan penting dalam menyediakan bahan latihan elektronik untuk kursus tersebut. 

Manfaat daripada program ini dilihat antara lain dapat meningkatkan kebolehpasaran peserta kerana ia menawarkan gabungan seimbang pembelajaran di dalam kelas dan latihan praktikal selain membekalkan graduan Sijil Kemahiran Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam industri minyak dan gas, selari dengan keperluan industri serta kemajuan teknologi.

EPOMS yang ditubuhkan pada 2012, adalah penyedia perkhidmatan utama untuk operasi dan selenggaraan fasiliti persisir pantai yang merangkumi seluruh rangkaian industri minyak serta gas negara, iaitu daripada pra-pengeluaran hingga aktiviti pasca pengeluaran.

Pahang Skills ditubuhkan pada 1994 merupakan badan berkanun kerajaan negeri Pahang antara lain berperanan menawarkan latihan berteraskan kemahiran dan teknologi manakala CAPE yang ditubuhkan pada 2016 pula menyediakan program dan modul kursus pendek profesional.  -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI