fbpx

Semacam reunion GV, Hetty ajak Naqiu ‘berkonsert’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAQIU teruja menjadi pilihan penganjur dan Hetty Koes Endang untuk beraksi di konsert After Hours With Hetty Koes Endang. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

BERTEMPAT di Grand Shah Alam (SACC), konsert istimewa menampilkan bintang legenda Indonesia, Hetty Koes Endang bakal berlangsung pada 24 Februari nanti.

Konsert yang diberi nama After Hours With Hetty Koes Endang (AHHKE) berkonsepkan majlis makan malam penuh romantik itu bakal menghimpunkan 1,000 peminat setia bintang negara seberang terbabit.

Menurut penghibur berusia 67 tahun itu, dia berasa sangat teruja berpeluang tampil dengan sebuah persembahan eksklusif, sekali gus dapat menghiburkan peminat yang rindu menyaksikan nyanyiannya secara dekat.

“Pertama sekali, sudah tentu saya sangat teruja dan bersyukur kerana masih berpeluang bertemu peminat
di Malaysia.

Ubat rindu

“Peluang dapat mengadakan konsert di sini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan saya untuk bertemu dengan peminat, begitu juga sebaliknya,” ujar Hetty ketika ditemu bual secara virtual, baru-baru ini.

Mesra membahasakan dirinya ‘bunda’, penyanyi itu bakal mendendangkan kira-kira 10 lagu popularnya bukan sahaja secara solo, tetapi juga menerusi duet bersama penyanyi undangan, Naqiu.

Menurut Naqiu, peluang memeriahkan AHHKE dianggap sebagai satu penghargaan buat dirinya sebagai seorang penyanyi.

Lebih membuatkan pemilik nama lengkap Wan Naqiuddin Mohd. Najib itu teruja apabila dapat berkongsi pentas dengan bintang legenda yang menjadi idolanya dalam dunia seni.

Kata Naqiu, dia terkejut apabila dilamar menjadi penyanyi AHHKE, lebih-lebih lagi sebelum ini, Hetty pernah bersamanya selama 11 minggu sebagai juri ketika menyertai program Gegar Vaganza musim keenam (GV) dan All Stars Gegar Vaganza (GV10).

“Terkejut pada awalnya. Namun, pada masa sama saya teruja untuk berkongsi pentas dengan bunda. Ini yang dikatakan rezeki.

“Ketika AHHKE berlangsung nanti, saya akan menyampaikan lima lagu, termasuk duet bersama bunda,” ujarnya.

Jejaka berusia 37 tahun itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penganjur, Visual Print Sdn. Bhd. dan juga Hetty kerana memilihnya menjadi sebahagian keluarga AHHKE.

Naqiu sesuai

Menurut Pengarah Eksekutif Visual Print Sdn. Bhd., Anis Fathiah Abd Hamid, Naqiu dipilih sebulat suara kerana pesona persembahannya di atas pentas yang cukup bersesuaian dengan konsep dan tema acara AHHKE.

Malah, vokalis kumpulan Boboy yang sinonim dengan lagu Episod Cinta itu mempunyai penjiwaan yang sangat baik ketika menyanyi, hingga sering kali mendapat pujian daripada Hetty yang juga juri tetap ASGV.

“Kami mencadangkan beberapa nama penyanyi tempatan bagi memeriahkan lagi malam AHHKE, namun nama Naqiu menjadi pilihan utama kami dan juga Hetty.

“Mungkin impak daripada persembahan Naqiu yang menyanyikan lagu Kuda Hitam pada minggu kelapan GV10 hingga diperkatakan dalam semua platform sosial media menjadi tarikan utama kepada pemilihan juara Gegar Vaganza 6 (GV6) itu.

“Malah, komitmen serta kemampuan Naqiu yang terkenal dengan gerak persembahan memukau setiap kali beraksi adalah sebab utama kami memilihnya sebagai penyanyi undangan pada 24 Februari itu nanti,” katanya.

Lebih istimewa, Hetty dan Naqiu juga akan berduet menerusi beberapa lagu sebagai kejutan kepada hadirin kelak.
AHHKE yang bermula seawal jam 8 malam turut menampilkan puteri Hetty Koes Endang, Afifah Yusuf selaku penyanyi undangan, Zul 2By2 atau nama sebenarnya Zulkefli Majid dan Intan Maya (bekas anggota kumpulan The Girls) pada malam konsert nanti.

Tiket After Hours With Hetty Koes Endang yang bakal berlangsung di Grand Shah Alam Convention Centre (SACC) boleh dibeli secara dalam talian di www.tix-box.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI