KUALA LUMPUR – “Ini adalah tanggungjawab saya dan perjuangan saya (sebagai anak seni) untuk keluarga. Jadi jangan halang tanggungjawab kami”.
Demikian kata penyanyi Datuk Awie ketika mengulas gesaan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor terhadap penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza agar menunda Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mac depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, 56, berpendapat, kerjaya anak seni itu telah pun ditentukan oleh Allah SWT untuk mereka mencari rezeki dalam dunia hiburan.
“Allah yang tentukan (kerjaya), bukan kami. Jadi kenapa kami kena hentikan kerja kami? Sedangkan kami boleh berdoa setiap hari.
“Di atas pentas pun boleh berdoa. Sebelum kami mulakan persembahan, kami buat solat hajat dahulu, beri sumbangan kepada Palestin. Cuma tidak cerita kepada orang, takut nanti jadi riak,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tegas vokalis kumpulang Wings itu lagi, tanggungjawab menyara keluarga, selain terikat dengan pelbagai komitmen menyukarkan golongan artis untuk menghentikan aktiviti seni mereka, termasuk penganjuran konsert.
Justeru Awie berharap agar perkara itu tidak diperbesar-besarkan kerana mereka hanya mahu mencari rezeki dengan menggunakan bakat dikurniakan Tuhan.
“Semua orang takut dengan dosa. Pekerjaan ini (artis) adalah kerjaya kami. Cuma, tak perlulah untuk sentiasa pamerkan kebaikan yang kita buat.
“Mereka (golongan agamawan) tidak patut menghentikan pekerjaan yang kami lakukan. Seolah-olah mereka menyekat rezeki kami. Menyekat rezeki anak-anak kami.
“Nak makan apa kalau tidak bekerja? Jadi, gunakan akal dan sentiasa berdoa,” katanya.
Awie yang ditemui semasa sidang media Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter di sini, semalam, turut menyifatkan kerjaya anak seni juga sama seperti imam masjid yang juga dibayar gaji untuk meneruskan kehidupan.
“Bersyukurlah masing-masing ada kerja dan tanggungjawab. Seperti juga imam masjid yang dibayar gaji. Apa akan jadi kalau dia tidak bekerja? Jadi, jangan halang tanggungjawab kami.
“Kami juga berkeluarga. Ada anak-anak yang masih bersekolah dan belajar di universiti. Ini adalah tanggungjawab dan perjuangan saya serta rakan lain.
“Seni adalah perjuangan kami untuk keluarga. Secara kebetulan, kami dilahirkan dengan bakat seni.
“Ada kemampuan untuk menyanyi, berlakon, buat lagu dan sebagainya. Jadi, kami kena teruskan,” katanya.
Terdahulu, Wan Salim menggesa agar konsert Siti yang bakal diadakan pada 9 Mac dianjakkan ke tarikh baharu bagi menghormati kehadiran bulan Ramadan yang dijangka jatuh pada 12 Mac nanti.
Menjawab gesaan tersebut, Siti, 45, menerusi kenyataan rasmi syarikat yang dinaunginya iaitu Yayasan Nurjiwa berkata, tujuan utama konsert tersebut diadakan adalah untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada mangsa perang di Palestin yang memerlukan bantuan segera.
Pada masa sama, Yayasan Nurjiwa turut menjelaskan, pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memaklumkan bahawa hanya tarikh 9 Mac sahaja yang kosong sepanjang tahun 2024.
“Buat pengetahuan semua, kami sudah membuat tempahan stadium sejak awal 2023 lagi namun tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan.
“Tarikh baharu yang diberikan pihak stadium adalah 9 Mac namun memahami matlamat utama konsert ini membuatkan Yayasan Nurjiwa mencapai keputusan untuk meneruskannya.
“Sekali lagi kami jelaskan, konsert ini bukan dianjurkan atas keuntungan sebaliknya untuk rakyat Palestin,” ujar kenyataan tersebut. – KOSMO! ONLINE