MANCHESTER – Manchester United berpeluang menyelamatkan kempen hambar mereka musim ini dengan mendapatkan khidmat pemain sayap lincah Real Madrid, Vinicius Junior.
Real dikatakan terbuka untuk melepaskan bintang Brazil itu bagi menampung dana untuk menyambar buruan utama mereka iaitu penyerang prolifik Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe.
Los Blancos sebelum ini pernah menganggap Vinicius, 24, sebagai pemain yang tidak akan dijual, namun faktor kewangan kelab mungkin menyebabkan pendahulu La Liga itu mengubah keputusan tersebut demi menandatangani Mbappe.
Difahamkan, Mbappe, 25, akan meminta gaji mingguan sekitar £600,000 (RM3.59 juta) apabila berhijrah ke Santiago Bernabeu secara percuma memandangkan kontraknya kini berbaki enam bulan lagi bersama PSG.
Ia bermakna Real terpaksa merelakan pemergian Vinicius yang dianggap aset paling bernilai buat mereka dengan meletakkan tanda harga sebanyak £130 juta (RM778.03 juta).
Walaupun jumlah itu dilihat tinggi, tetapi pemilik bersama United iaitu bilionair Great Britain, Sir Jim Ratcliffe berjanji menyalurkan dana untuk aktiviti perpindahan selepas ini.
The Red Devils juga mengharapkan dua pemainnya dari Brazil seperti kapten negara itu, Casemiro dan Antony dapat memujuk bekas produk Flamengo itu berhijrah ke Old Trafford.
Sebagai rekod, Vinicius sudah meledak sembilan gol daripada 16 perlawanan bersama Real dalam semua kejohanan musim ini. – AGENSI