fbpx

Hanya Aaron-Wooi Yik ke separuh akhir Terbuka India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kiri) dan Wooi Yik mara ke pentas separuh akhir Terbuka India

PETALING JAYA – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan tiket ke pentas separuh akhir Terbuka India menjadi miliknya selepas berjaya mengatasi pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di New Delhi, hari ini.

Pasangan ranking No. 4 dunia tersebut seakan-akan melepaskan geram apabila mengatasi pasangan pilihan kelapan kejohanan dengan kemenangan 21-19, 21-19 dalam tempoh 45 minit.

Biarpun pasangan China itu cuba mengatur strategi untuk mengheret perlawanan tersebut ke pertarungan tiga set, namun Aaron-Wooi Yik bijak mengawal tekanan terutama pada set kedua sebelum melakar kemenangan bergaya.

Lebih manis, ia adalah kali pertama bekas juara dunia itu mencatat kemenangan straight set ke atas gandingan China berkenaan selepas mencatat dua kemenangan sebelum ini menerusi pertarungan tiga set.

Pastinya kemenangan tersebut memberi kegembiraan buat bekas juara dunia itu kerana sebelum ini mereka tewas ketika berdepan pasangan China tersebut sewaktu saingan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, bulan lalu.

“Kami sudah banyak kali bermain menentang mereka (Yu Chen-Xuan Yi) termasuklah baru-baru ini (Jelajah Dunia Akhir) dan sudah tahu corak permainan masing-masing. 

“Dalam perlawanan hari ini, strategi kami menjadi dan kami bermain dengan baik di set pertama tetapi set kedua ada hilang fokus sedikit tetapi mujur kami berjaya bangkit sebelum  memenangi perlawanan,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Hasil keputusan tersebut, pasangan negara itu akan menjadi wakil tunggal negara bersaing di pentas separuh akhir selepas dua lagi wakil negara iaitu Lee Zii Jia dan pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terkandas di peringkat suku akhir.

Menanti mereka di separuh akhir esok adalah pemenang perlawanan antara pasangan nombor dua dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dengan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen. -KOSMO! Online

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI