fbpx

Dulu asnaf, kini usahawan cuci rumah bayar zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATIMAH berjaya keluar daripada kelompok asnaf selepas bergelar usahawan cucian.

DALAM kehidupan, setiap individu tidak terlepas daripada berdepan pelbagai ujian termasuk kemiskinan, kurang upaya, masalah kesihatan dan sebagainya.

Bagi wanita cekal ini, sebelum mengecap kejayaan, dia terlebih dahulu diuji dengan pelbagai kesusahan hidup apabila suaminya jatuh sakit sehingga hilang punca pendapatan keluarga.

Biarpun terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun Fatimah Umar, 45, tidak pernah menyerah kalah dan berputus asa.

Menerusi bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), Fatimah berjaya keluar daripada kelompok asnaf dengan menjadi usahawan berjaya.

Berkongsi kisah hidupnya, Fatimah berkata, dia tergolong dalam kategori asnaf selepas suaminya jatuh sakit akibat penyakit kencing manis dan hilang upaya untuk bekerja.

“Bagi menyara keluarga, saya bekerja sebagai jurujual untuk menanggung lima anak dan kos rawatan suami berjumlah RM1,000 setiap bulan.

“Gaji saya seorang tidak cukup untuk melunaskan komitmen setiap bulan sehingga saya terpaksa memohon bantuan LZS. Akhirnya, saya tergolong dalam kategori asnaf,” katanya.

FATIMAH
bersama suaminya menerima anugerah usahawan berjaya daripada LZS
pada tahun
2022.

Jelasnya, dia menerima pelbagai bantuan LZS selama lima tahun sejak 2017 termasuk wang bulanan dan barangan dapur.

Biarpun begitu, wanita yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan itu menyedari tidak boleh mengharapkan bantuan selama-lamanya.

Tidak duduk diam, dia meneruskan langkah dengan menceburi bidang perniagaan dan mengambil bahagian dalam Program Pembangunan Ekonomi anjuran LZS supaya dapat mengubah nasib keluarga.

“Dalam program ini, saya berpeluang menyertai beberapa kursus seperti bantuan modal, perakaunan dan paling menarik adalah belajar menghasilkan video.

“Pada tahun 2019, saya mula menjalankan perniagaan mencuci rumah bermula dengan rumah jiran dan kawan-kawan.

“Kemudian, saya menyedari bahawa perkhidmatan ini mendapat permintaan sangat tinggi,” katanya yang turut menjalankan perkhidmatan pusat cucian menggunakan jenama, Cik Tim Chucee.

Tambahnya, beberapa tahun kemudian, dia membuat keputusan untuk keluar daripada status asnaf dan memberi peluang kepada orang lain yang lebih memerlukan.

“Saya sendiri mula membayar zakat pada awal tahun lepas sebagai Muzakki dan berikhtiar menjadi pembayar zakat secara konsisten.

“Saya ingin terus membayar zakat untuk membantu golongan asnaf yang lain supaya mereka juga dapat keluar daripada kelompok itu,” katanya sambil menyifatkan setiap ujian pasti ada kemanisan di penghujungnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI