BEIJING – Sebuah syarikat China menjual sebuah dron pada harga 406,068 yuan (RM270,392) di laman peruncitan online, lapor lapor portal berita Wion News semalam.
Dron itu mirip dron buatan Iran, Shahed yang digunakan oleh beberapa pasukan tentera termasuk Russia dalam perang di Ukraine.
Dron XHZ-50 itu dikeluarkan oleh syarikat Sunlipo Energy Shenzen Co.
Seorang pengguna media sosial, Byron Wan mendedahkan tentang dron itu di platform X. Dia berkongsi spesifikasi dron Iran itu yang kelihatan hampir sama seperti XHZ-50.
Dron jarak jauh Shahed dibangunkan oleh Perbadanan Industri Pengeluaran Pesawat Iran (HESA) pada 2021 dan mempunyai keupayaan untuk membawa 36 kilogram bahan letupan.
Ia mampu terbang sejauh 2,500 kilometer dan mempunyai kelajuan maksimum 135 kilometer sejam. Dron itu mempunyai berat 200 kilogram, panjang 3.5 meter dan lebar sayap 2.5 meter
Dron XHZ-50 pula mempunyai berat 68.03 kilogram dan menggunakan petrol sebagai bahan api. Ia boleh dikawal dari jarak jauh serta mempunyai spesifikasi lain yang hampir sama dengan Shahed.
Namun, ia yang pada peringkat awal boleh dipesan hanya satu set, ditarik balik dari laman peruncitan Alibaba. – AGENSI